Kebijaksanaan Saidina Ali jatuhkan hukuman kes nyawa

Kebijaksanaan Saidina Ali jatuhkan hukuman kes nyawa



Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 69)

Imam Ahmad, Al-Bazzar dan lain-lain menyebut:

Satu kaum menggali sebuah telaga di Yaman. Seorang lelaki terjatuh ke dalamnya. Dia berpaut dengan orang lain. Yang kedua berpaut dengan orang ketiga. Yang ketiga berpaut dengan yang keempat. Semua mereka terjatuh ke dalam telaga dan mati. Kaum keluarga mereka mengemukakan kes itu kepada Ali bin Abi Talib ra. Katanya: ‘Kumpulkan semua yang menggali telaga.’

Ali menjatuhkan hukuman untuk yang pertama 1/4 diat kerana dia mati, di atasnya 3 orang. Bagi yang kedua 1/3, kerana dia mati, di atasnya 2 orang. Bagi yang ketiga 1/2, kerana dia mati, di atasnya seorang. Bagi yang keempat, diat sepenuhnya.

Advertisement

Mereka datang kepada Nabi SAW pada tahun berikutnya, dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi bersabda: ‘Itulah hukuman yang diputuskan antara kamu.’ Ini menurut Al-Bazzar.

Menurut Ahmad dan yang lain-lain, katanya:
Mereka enggan terima hukuman Ali. Lalu mereka datang kepada Nabi SAW yang berada di maqam Ibrahim. Mereka ceritakan kisah tersebut. Nabi SAW membenarkan apa yang dibuat oleh Saidina Ali. Baginda jadikan diat dikenakan ke atas kabilah-kabilah yang bertikai.

(ZadulMaad, Ibn alQayyim 5/13-14)

Kita memetik beberapa pengajaran dari kisah di atas:

  1. Telaga adalah satu lubang dalam untuk mendapatkan air. Ia bermanfaat buat manusia. Terkadang, telaga juga boleh menyebabkan kematian. Benda di sekitar kita begitulah sifatnya. Benda yang bermanfaat, di sebaliknya ada mudarat yang tak disangka.
  2. Yaman adalah sebuah negara dan tamadun yang sangat lama. Pelbagai kisah ada di Yaman. Ayat ‘Negeri yang baik, dan Tuhan yang Maha Pengampun’ merujuk kepada Saba, negeri dalam tamadun lama di Yaman. Nabi juga memuji penduduk Yaman kerana iman banyak di situ.
  3. Memelihara nyawa adalah salah satu maqasid syariah yang penting: pelihara agama, nyawa, maruah, harta, akal, zuriat.
  4. Apabila jenayah itu melibatkan nyawa, hukumannya samada qisas iaitu dibunuh balas balik, diat atau pampasan dengan nilai 100 ekor unta atau dimaafkan.
  5. Dalam kes di atas, jika diminta kepada kita memutuskan hukum, agaknya tercengang juga kita memikirkannya. Kebijaksanaan Saidina Ali melampaui akal manusia biasa. Nabi SAW mengiktiraf kecerdikan Ali. Begitu juga orang lain. Ulama Nahu pernah berkata mengenai Ali:
    مسألة ولا أبو حسن لها
    ‘Masalah yang tiada AbulHasan (iaitu Ali) untuk menyelesaikannya’
    iaitu masalah yang sukar diselesaikan oleh sebarangan orang kecuali orang yang seperti Saidina Ali.
  6. Diat mengenai nyawa termasuk dalam kes jenayah. Dalam konteks Malaysia, ia menjadi sebahagian dari hukuman yang tertakluk di bawah undang-undang jenayah yang belum dilaksanakan sepenuhnya menurut syarak.

    Mantan Menteri Agama sebelum ini seperti YB Ustaz Idris dan Timbalannya, YB Ustaz Marzuk telah berusaha keras bagi menjayakan RUU 355, tetapi sedikit tertangguh akibat keputusan PRU 15 baru-baru ini. Ia mesti diperjuangkan lagi agar keadilan Islam tegak sepenuhnya.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK,
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 17/3/2023