bhnews@bh.com.my
ALOR SETAR: Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang lelaki yang cedera ketika ditahan pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Kuala Muda dekat sini, pada 18 Julai lalu, sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam kejadian jam 10 malam itu, pegawai agensi terbabit menangkap suspek berusia 24 tahun mengikut Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindahan 1998.
Katanya, mengikut laporan, pegawai terbabit mengalami kecederaan akibat pergelutan ketika mahu menangkap suspek, menyebabkan satu kertas siasatan berkaitan kes berkenaan dibuka polis.
“Bagaimanapun pada jam 11.35 pagi, 19 Julai lalu, polis menerima satu aduan dari seorang wanita yang tidak puas hati terhadap proses tangkapan terhadap adik lelakinya dibuat pegawai agensi penguat kuasa berkenaan.
“Susulan itu, menyebabkan polis membuka satu lagi kertas siasatan. Suspek kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 20 Julai lalu.
“Maka, kes itu diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya memberi jaminan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil dalam kes ini.
“Waris suspek juga dimaklumkan perkembangan siasatan dan orang ramai dinasihat tidak membuat spekulasi berhubung kes ini.
“Berikutan itu, kita meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil menyalurkan maklumat di talian 04-7741403/1405 atau atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Siti Anim Aripin di talian 012-9144654,” katanya.
Jumaat lalu, polis mengambil keterangan tiga pegawai sebuah agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki yang cedera dan meninggal dunia di HSAH Sungai Petani.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan ketika bergelut bersama pegawai agensi itu yang cuba menahannya di sebuah rumah di Gurun.
Lelaki itu kemudian berjaya ditahan dan didapati mengalami bengkak di dahi dan luka di pergelangan kaki serta tangan menyebabkan dia dihantar ke HSAH bagi mendapatkan rawatan.
HSAH kemudiannya memaklumkan kepada keluarga mangsa lelaki itu berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi, 20 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




