Keunikan Mariyai Devi di Bazar Aidilfitri

Keunikan Mariyai Devi di Bazar Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Seremban: Pernah diminta untuk memakai tudung bagi melariskan jualan selendangnya, namun wanita berketurunan India ini tetap dengan pendirian mengekalkan identiti bangsanya.

N Mariyai Devi, 46, yang berniaga di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, di sini, tetap diterima masyarakat dan pelanggan tanpa membezakan warna kulit.

Guru tuisyen ini adalah satu-satunya peniaga bukan Melayu yang mencuba nasib kali pertama menyertai bazar berkenaan meskipun menyedari mungkin berdepan cabaran mendapatkan pelanggan.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah beberapa kali berniaga pakaian pada festival Deepavali di Bandar Seremban, di sini, sebelum seorang rakan Melayu mencadangkannya supaya berniaga di bazar Aidilfitri pula.

“Kawan baik saya itu dikenali sejak dari kecil lagi dan dia kini menetap di Dubai (Emiriah Arab Bersatu). Jadi dia cadangkan supaya menjual pelbagai fesyen tudung dari negara itu di bazar Aidilfitri pada tahun ini.

“Pada mulanya saya takut juga kerana ini kali pertama ( berniaga di bazar Ramadan). Saya bertanya kepada kepada penganjur di bazar ini dan mereka memaklumkan tiada halangan terhadap peniaga bukan Melayu,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, pada awalnya dia agak terkejut kerana selama ini dia beranggapan terdapat syarat atau ketetapan hanya peniaga Melayu sahaja dibenarkan berniaga di bazar Ramadan.

“Sebelum itu saya membuat tinjauan jenis fesyen tudung yang mendapat sambutan, namun sukar diperolehi di negara ini. Dengan bantuan kawan itu, saya mula menempah 200 tudung dari Dubai dan dari India.

“Dalam masa dua minggu pertama Ramadan, boleh dikatakan ramai pelanggan yang datang untuk melihat dan membeli. Sambutannya amat menggalakkan dan sehingga perlu membuat tempahan untuk kali kedua bagi menambak stok.

“Kebiasaannya golongan muda yang datang membeli tudung ini untuk padankan dengan baju raya mereka. Dengan harganya, ia sangat berbaloi untuk beli tudung yang diimport dari Dubai dan India,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan peniaga dan pelanggan, Mariyai Devi berkata, dia tidak rasa terasing walaupun berada di lautan masyarakat Melayu.

“Peniaga di sini sangat mesra dan mereka akan bertegur sapa, bertanya khabar. Begitu juga dengan pelanggan, senyuman memang tidak lekang daripada mulut tanpa ada rasa janggal dengan kehadiran saya.

“Ada kawan minta saya supaya memakai tudung seperti orang Islam untuk menarik pelanggan, tetapi saya tidak mahu hipokrit dan kekalkan identiti saya seperti ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top