MAKKAH – Siapa sangka di sebalik rutin harian sebagai suri rumah sepenuh masa, tersimpan kisah pengorbanan panjang yang akhirnya membuahkan rezeki tidak disangka-sangka.
Bagi Jameliah Abdul Manaf, 66, keikhlasannya membantu golongan asnaf sejak 2010 tanpa mengharapkan sebarang imbuhan akhirnya dibalas dengan peluang menunaikan ibadah haji menerusi kuota kurniaan kerajaan negeri Selangor.
Menceritakan detik menerima berita gembira itu, Jameliah berkata, kakitangan Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Selangor telah hadir ke kediamannya bagi memaklumkan pemilihannya sebagai tetamu Allah SWT.
“Apabila dimaklumkan nama saya dicalonkan untuk menerima tajaan haji ini, pada mulanya saya menolak kerana merasakan ramai lagi yang lebih layak.
“Namun apabila dimaklumkan ia adalah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya menerimanya sebagai rezeki dan jawapan kepada doa yang dipanjatkan selama ini,” katanya yang berasal dari Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.
Perjalanan Jameliah dalam kerja-kerja kebajikan bermula secara fi sabilillah pada tahun 2010 apabila beliau membantu penduduk yang berdepan pelbagai masalah, termasuk urusan zakat, perumahan, pendidikan serta individu yang tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran.
“Ramai yang datang meminta bantuan. Ada yang tiada kad pengenalan, tiada sijil kelahiran, ada yang dihalau dari rumah sewa dan ada juga berdepan masalah keluarga.
“Bila satu kes berjaya diselesaikan, orang lain pula datang meminta bantuan. Dari situ kerja kebajikan ini berkembang dan saya teruskan sehingga sekarang,” katanya.
Dedikasi dan komitmen sepanjang hampir sedekad berkhidmat secara sukarela itu akhirnya mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai wanita pertama yang ditauliahkan sebagai amil di kawasannya pada 2019.
Di sebalik tugas membantu urusan zakat, terdapat satu lagi pengorbanan yang jarang diketahui ramai iaitu peranannya sebagai ‘penjamin’ kepada asnaf yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat tinggal.
Menurutnya, ramai pemilik rumah berasa ragu-ragu untuk menyewakan kediaman kepada golongan asnaf kerana bimbang mereka gagal menjelaskan bayaran sewa.
“Selalunya apabila kita uruskan hal rumah sewa, ada asnaf yang sudah dihalau keluar. Kadang-kadang tuan rumah tidak mengenali mereka, jadi memang sukar untuk mendapatkan kepercayaan,” katanya.
Memahami kebimbangan itu, Jameliah mengambil tanggungjawab meyakinkan pemilik rumah dengan menggunakan kredibiliti yang dibinanya selama bertahun-tahun.
Keikhlasan beliau turut terserlah apabila sanggup menyewa teksi setiap minggu ke pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Petaling Jaya bagi menghantar dokumen permohonan asnaf kerana hanya mahir menunggang motosikal dan tidak mempunyai kemudahan pengangkutan lain.
Namun menjelang 2025 dan 2026, urusan itu menjadi lebih mudah apabila ramai rakan tampil menawarkan bantuan secara sukarela untuk membawanya ke lokasi berkaitan bagi melaksanakan kerja kebajikan.
Jameliah berkata, restu arwah suaminya menjadi sumber kekuatan utama untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Walaupun dia sudah tiada, sokongan anak-anak dan kepuasan melihat asnaf berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan membuatkan saya tidak mahu berhenti daripada kerja ini.
“Saya percaya doa orang yang dibantu serta izin suami menjadi antara asbab Allah membuka jalan untuk saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan impiannya menunaikan ibadah haji.



