KKM kesan kes pertama jangkitan Mpox tahun ini

KKM kesan kes pertama jangkitan Mpox tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau monkeypox (Mpox) varian clade II dikesan, semalam menjadikan keseluruhan 12 kes jangkitan di negara ini, sejak Julai 2023.

Kementerian itu dalam kenyataan, hari ini memaklumkan kes terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dengan sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terbabit dalam aktiviti berisiko.

“Pesakit mendapatkan rawatan pada 10 Januari lalu (semalam), kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Sebanyak sembilan kes dilaporkan pada 2023, dua kes pada 2024 dan satu kes bagi 2025. Kesemua kes yang dilaporkan merupakan clade II,” katanya.

Tambah kenyataan itu, KKM akan terus memantau situasi Mpox didalam dan luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.

“Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox,” katanya.

Selain itu, katanya jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.

“Gejala Mpox ialah demam berserta ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva (selaput lut sinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata) dan juga kornea.

“Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan Mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari,” katanya

Bagi mengelakkan jangkitan Mpox, KKM menasihatkan individu berisiko tinggiyang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam atau lepuh segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual selain mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Semua individu yang ingin melawat ke negara-negara yang melaporkan Mpox pula dinasihatkan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko.

“Manakala pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan Mpox, perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan Mpox bagi tempoh selama 21 hari daripada tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran yang sahih dengan mengikuti akaun-akaun media sosial KKM.

Katanya, untuk maklumat lanjut juga atau soalan lazim berkenaan Mpox, boleh dicapai di pautan berikut: mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top