am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Kemalangan yang meragut nyawa empat individu, termasuk pasangan suami isteri dan bayi mereka berusia lima bulan, di Kilometer 8.9 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, tengah hari tadi, berlaku selepas kereta dinaiki keluarga itu dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, kereta Toyota Vios yang dinaiki mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lori Isuzu di laluan bertentangan berkenaan.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan semua penumpang Toyota Vios parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat kesemua mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Pemandu lori, lelaki berusia 60 tahun, bengkak pada lutut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalamnya kenyataannya, hari ini.
Dalam kemalangan itu, mangsa yang terkorban adalah pasangan suami isteri, Aieman Azriq Ahmad dan Nurul Fazilah Noor Azmi, masing-masing berusia 22 tahun, serta bayi mereka, Aryan Khalif Aieman Azriq, berusia lima bulan.
Seorang lagi yang maut dalam kereta itu adalah Mohamad Rasyid Razali, berusia 17 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd