Kualiti hidup dijulang

Kualiti hidup dijulang

mdroji@bh.com.my

Telang Usan: Penduduk Kampung Long Latei di daerah Telang Usan kini menikmati pelbagai kemudahan baharu hasil pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI oleh Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Program berkonsep pembangunan komuniti itu memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat luar bandar, khususnya golongan belia, melalui penambahbaikan infrastruktur, latihan kemahiran dan pelaksanaan aktiviti sosial.

Kampung Long Latei terletak di pedalaman Ulu Baram mempunyai 432 penduduk etnik Penan mendiami 119 rumah termasuk rumah panjang 36 pintu.

Ketua Kampung, Buja Din, 50, berkata kebanyakan rumah dibina secara gotong-royong oleh masyarakat setempat.

“Rumah panjang ini dibina pada 1988 oleh syarikat pembalakan dan selepas lebih 40 tahun, keadaannya kian usang dengan bumbung rosak.

Melalui pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI oleh IYC, kerja baiki bumbung rumah panjang dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk,” katanya.

Menurutnya, 200 daripada penduduk kampung terdiri daripada golongan belia yang menjadi tumpuan utama projek.

Antara kemudahan disediakan termasuk 30 lampu jalan solar di sepanjang jalan utama dan kawasan rumah panjang.

Selain itu, IYC melaksana penambahbaikan dengan memasang bumbung bagi melindungi tangki air yang sedia ada.

Pengarah IYC, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pelaksanaan projek di Long Latei menumpukan keperluan asas dan pembangunan sosial setempat.

“Antara inisiatif dilaksana termasuk menaiktaraf gelanggang futsal dan pembinaan gelanggang sukan pelbagai guna yang baharu dan sistem pembuangan sampah (insinerator),” katanya.

Beliau berkata, IYC menjalankan pelbagai kursus kemahiran untuk belia termasuk kursus rekreasi dan eco-host, kursus keselamatan dan keterjaminan makanan, kursus kraftangan dan kursus servis kereta diesel.

Program dilaksana secara bergotong-royong dengan konsep ‘hero lokal’ sebagai usaha memperkukuh semangat kesukarelawanan dan perpaduan masyarakat.

Peserta kursus, Listana Agai, 21, berkata, penyertaannya dalam Kursus Kraftangan anjuran IYC membantunya menambah kemahiran membuat anyaman bakul yang dipelajari daripada ibunya sejak kecil.

“Saya dapat hasilkan produk lebih berkualiti dan kini jual hasil anyaman kepada pelancong,” katanya.

Seorang lagi belia, Emelda No, 22, berkata, pembinaan gelanggang serbaguna memberi peluang kepada anak muda bersukan dan menjalankan aktiviti sosial secara sihat.

“Kemudahan ini bukan saja jadi tempat bersukan, tetapi ruang mengeratkan hubungan penduduk serta mengadakan majlis keramaian,” katanya.

Penduduk kampung, Asung Din, 52, pula berkata, pembinaan sistem insinerator beri kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top