Pada abad ke-13, dunia menyaksikan kebangkitan kuasa paling digeruni dalam sejarah manusia iaitu kemaraan bangsa Mongol.
Umum mengetahui tentera Mongol ketika itu dilengkapi teknologi persenjataan paling moden, lengkap dengan semua cabang ketumbukan tentera.
Sejarah merekodkan keupayaan mereka dalam peperangan terbuka khususnya penggunaan ‘cavalry’ atau tentera berkuda menjadi antara punca kekuatan utama bangsa ini.
Empayar Khwarizm yang kaya turut tumbang dalam masa setahun, kota-kota Asia Tengah menjadi padang jarak dan kemuncaknya apabila Kota Baghdad, pusat pemerintahan Empayar Islam Abbasiyah dihancurkan pada 1258M.
Baghdad bukan sekadar kota pesat pemerintahan tetapi pusat intelektual dan ketamadunan Islam.
Serangan Hulagu Khan menggunakan angkatan besar, dianggarkan antara 120,000 hingga 150,000 tentera.
David Morgan melalui karya ‘The Mongols’ meletakkan jumlah sekitar 150,000, manakala ilmuwan Islam seperti Ibn al-Furat dan Ibn ‘Imad meletakkan anggaran sehingga 200,000.
Perbezaan angka ini menunjukkan satu perkara, tentera Hulagu adalah antara pasukan terbesar yang pernah digerakkan bangsa Mongol, lengkap dengan pemanah berkuda, infantri dan jentera pengepung tembok.
Pembunuhan Khalifah al-Musta’sim Billah serta kemusnahan perpustakaan Bayt al-Hikmah seolah-olah menandakan berakhirnya zaman keemasan Islam.
Ketika itu wujud kepercayaan bahawa Mongol tidak boleh dikalahkan, satu propaganda yang hampir mematahkan semangat umat Islam.
Namun dua tahun kemudian, catatan sejarah berubah di sebuah lembah subur bernama Ain Jalut, di Jezreel, Palestin, apabila tentera Mongol akhirnya ditewaskan oleh angkatan Islam Mamluk.
Di sinilah umat Islam di bawah Kesultanan Mamluk Mesir memulihkan maruah dan kedudukan Islam di pentas dunia.
Peristiwa ini direkodkan sarjana seperti Ibn al-Furat, al-Maqrizi, Ibn Kathir dan Badr al-Din al-Ayni, menjadikannya antara peperangan paling autentik dan signifikan dalam sejarah.
Kepimpinan Sultan Saifuddin Qutuz dan Panglima Baybars al-Bunduqdari
Pemimpin utama yang menjadi arkitek kemenangan ialah Sultan Saifuddin Qutuz, seorang bekas hamba Mamluk yang bangkit menjadi pemerintah.
Menyedari ancaman Mongol bakal menghapuskan wilayah Islam, Qutuz mengambil keputusan berani yang jarang dilakukan pemimpin ketika itu, beliau menyatukan kekuatan Mesir dan menggerakkan rakyat untuk mempertahankan agama.
Qutuz turut memainkan peranan menyatukan wilayah Mesir dan Syam selepas Hulagu mengarahkan jeneralnya, Kitbuqa Noyan, mara ke Palestin.
Bantuan logistik serta sokongan ketenteraan dari Aleppo dan Damsyik digembleng semula oleh Mamluk setelah kota-kota tersebut jatuh sebahagiannya kepada Mongol.
Catatan Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan kesatuan ini sebagai kunci utama kejayaan Ain Jalut.
Sebelum itu, Qutuz memanggil kembali panglima paling berkaliber dalam sejarah Mamluk, iaitu Ruknuddin Baybars al-Bunduqdari.
Baybars sebelum ini diusir Sultan Aybak (Pemerintah Mamluk sebelum Qutuz) kerana persaingan politik, walaupun berjasa dalam mengalahkan Tentera Salib di Mansurah.
Di medan, genius strategi tentera berada di tangan Baybars, panglima Kipchak yang mahir dalam taktik berkuda ringan.
Beliau mencadangkan penggunaan serangan helah (feigned retreat), ironi kerana taktik sebelum itu digunakan oleh Mongol sendiri.
Baybars memanfaatkan struktur lembah Ain Jalut yang sempit untuk memerangkap tentera Mongol yang biasa bertempur di kawasan lapang.
Perang yang mengubah naratif dunia
Pada 3 September 1260, tentera Mongol pimpinan Kitbuqa memasuki Ain Jalut, menyangka tentera Islam sedang berundur.
Mereka mengejar kumpulan pemanah Mamluk yang berpura-pura melarikan diri.
Ketika mereka memasuki kawasan sempit dikelilingi bukit, Qutuz memberi arahan agar pasukan yang bersembunyi keluar dari posisi serangan hendap. Serangan balas serentak dari rusuk kiri dan kanan mengakibatkan formasi Mongol runtuh.
Catatan Badr al-Din al-Ayni menyatakan Qutuz sendiri turun ke medan sambil melaungkan ‘Wahai Islam! Wahai Islam!’ tindakan yang menaikkan moral tentera dan mencerminkan keberanian moral seorang pemimpin sejati.
Dalam pertempuran sengit itu, Kitbuqa akhirnya ditangkap dan dihukum, menandakan kekalahan besar pertama Mongol di medan terbuka.
Ia bukan saja satu kekalahan besar, tetapi ‘penghancuran tentera Mongol’ yang selama ini dilihat terlalu hebat untuk dikalahkan oleh mana-mana pasukan tentera.
Kemenangan ini menjadi titik perubahan geopolitik dunia.
Buat pertama kali, kuasa paling digeruni itu ditewaskan oleh angkatan Islam, mematahkan dominasi Mongol di Syam dan menyelamatkan Mesir serta Afrika Utara daripada potensi penjajahan seterusnya.
Faktor-faktor yang mengangkat keupayaan Islam:
1. Penyatuan politik dan ketenteraan
Ain Jalut membuktikan bahawa apabila wilayah Islam bersatu, kekuatan itu menjadi benteng paling kukuh.
2. Strategi perang dan mobilisasi pantas
Tentera Mamluk memiliki sistem latihan berkuda paling efisien pada zamannya.
3. Keberanian moral pemimpin
Qutuz dan Baybars menunjukkan keberanian moral yang menggerakkan seluruh tentera.
Kesan panjang dan warisan Ain Jalut
Ain Jalut membuktikan bahawa umat Islam mampu bangkit walaupun berada di titik paling lemah.
Selepas kemenangan ini, Kesultanan Mamluk bertahan hampir tiga abad, memainkan peranan mengekang ancaman Salib dan Mongol.
Sarjana seperti Steven Runciman dan Bernard Lewis menyifatkan Ain Jalut sebagai salah satu pertempuran yang mengubah sejarah dunia.
Lebih besar daripada itu, Ain Jalut mengajar bahawa kebangkitan tamadun memerlukan kepimpinan, perpaduan dan strategi.
Persoalannya, bilakah penyatuan Ain Jalut bakal berulang dalam dunia moden?
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




