SHAH ALAM – Pengurangan kuota diesel bersubsidi daripada 6,999 liter kepada 5,000 liter disifatkan sebagai beban besar kepada industri pengangkutan dan logistik negara, khususnya dalam kalangan pengusaha lori treler yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api itu bagi memastikan kelancaran operasi harian.
Pemain industri pengangkutan dan logistik, Daniel Khoo berkata, kuota sedia ada ketika ini sememangnya sudah dianggap tidak mencukupi bagi kebanyakan syarikat, lebih-lebih lagi yang terlibat dalam penghantaran jarak jauh merentasi negeri.
Menurut beliau, langkah mengurangkan kuota itu bukan sahaja menjejaskan kelangsungan operasi syarikat pengangkutan, malah berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap rantaian bekalan serta pelbagai sektor ekonomi yang bergantung kepada perkhidmatan logistik.
Katanya, bagi syarikat yang menjalankan penghantaran dari Pantai Timur ke Utara atau dari Utara ke Selatan, kuota 5,000 liter boleh dihabiskan dalam tempoh kira-kira 10 hari sahaja.
“Selepas kuota itu habis digunakan, syarikat terpaksa membeli diesel pada harga pasaran yang jauh lebih tinggi dan keadaan ini akan meningkatkan kos operasi secara mendadak.
“Situasi tersebut memberi tekanan besar kepada syarikat pengangkutan yang sememangnya sedang berdepan pelbagai cabaran operasi ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Daniel berkata, keadaan akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya kuota diesel bersubsidi habis digunakan dalam tempoh singkat sehingga memaksa sesetengah pengusaha menghentikan operasi lori buat sementara waktu.
Menurutnya, jika subsidi habis dalam tempoh sekitar dua minggu, ada syarikat yang tidak mempunyai pilihan selain ‘memarkirkan’ lori kerana tidak mampu menanggung kos bahan api pada harga komersial.
“Apabila lori tidak bergerak, pekerja pula tiada kerja dan seterusnya hilang punca pendapatan. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan majikan dan pekerja, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata, industri pengangkutan merupakan antara nadi utama ekonomi negara kerana hampir semua sektor, termasuk pembinaan, perlombongan pasir dan batu serta perkilangan, bergantung kepada kelancaran perkhidmatan logistik untuk menghantar bahan mentah dan produk ke destinasi.
Tambahnya, pengurangan kuota subsidi itu turut memberi kesan kepada operasi lori bersaiz besar, termasuk lori 10 tayar hingga 26 tayar yang digunakan untuk mengangkut bahan mentah dalam kuantiti besar.
“Ramai tidak sedar industri pengangkutan adalah tulang belakang kepada pergerakan ekonomi negara. Jika kos operasi terus meningkat, kesannya akhirnya akan dirasai di sepanjang rantaian industri, termasuk pengguna.
“Dalam masa sama, banyak syarikat juga sedang berdepan cabaran apabila harga dalam sektor perlombongan semakin menurun, sekali gus menyebabkan margin keuntungan menjadi semakin kecil,” katanya.
Daniel turut mengakui pengusaha lori kini berada dalam dilema untuk memastikan operasi kekal berjalan tanpa melanggar peraturan sedia ada.
Katanya, jika muatan dibawa melebihi had, syarikat berdepan risiko tindakan penguatkuasaan, namun jika muatan dikurangkan, hasil yang diperoleh pula tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kos operasi.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengurangan kuota diesel bersubsidi berkenaan dan mengembalikannya ke paras sebelum ini demi memastikan kelangsungan industri pengangkutan.
Pada masa sama, beliau mencadangkan agar usaha membanteras ketirisan diesel bersubsidi diperkasakan menerusi penguatkuasaan yang lebih menyeluruh, khususnya di kawasan sempadan dan stesen minyak.
“Jika berlaku penyalahgunaan subsidi, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan bukannya sehingga membebankan pemain industri pengangkutan yang sah.
“Jangan kerana mahu membendung ketirisan, industri pengangkutan yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara pula terpaksa menanggung kesannya,” katanya.



