Langkawi ‘Dikunci’, Pendatang Rohingya Ubah Taktik Guna Bot Kecil Ceroboh Pantai Kedah

Langkawi ‘Dikunci’, Pendatang Rohingya Ubah Taktik Guna Bot Kecil Ceroboh Pantai Kedah

Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dipercayai mengubah taktik membawa masuk warga asing ke negara ini apabila menggunakan bot-bot kecil untuk mendarat di beberapa kawasan pesisir Kedah selepas kawalan keselamatan di Langkawi dipertingkatkan.

Perubahan itu menyaksikan kumpulan terbabit tidak lagi menjadikan Teluk Ewa dan Teluk Datai sebagai lokasi pendaratan utama sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebaliknya mereka dipercayai beralih ke Kuala Kedah, Kuala Kerpan, Yan dan Kota Kuala Muda dengan membawa kumpulan lebih kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mungkin mereka ada saudara-mara di sini, mereka ubah pula dalam masuk perjalanan laut ni dengan kumpulan kecil yang mana mungkin 10 orang kebanyakannya lajak terus ke Kuala Kerpan, Kuala Kedah, Yan dan Kota Kuala Muda.

“Ini yang kita nampak dan saya seru masyarakat di luar sana khususnya nelayan jangan bersekongkol bawa masuk warga asing ini.

“Ini terbukti apabila kita tangkap, hasil risikan yang dilakukan, ada nelayan yang bersekongkol, ambil upah untuk membantu membawa masuk mereka ke negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Menurut Adzli, polis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) kini memperketat kawalan di 17 lokasi sempadan negara menerusi rondaan dan penugasan statik selama 24 jam, sekali gus berjaya mengekang pendaratan PATI di lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai laluan utama.

Beliau berkata, polis turut membongkar penglibatan individu tempatan yang dipercayai menjadi tali barut sindiket penyeludupan manusia dengan mengambil upah membawa masuk PATI melalui jalan laut.

Katanya, polis sebelum ini menahan seorang bekas anggota polis yang dibuang kerja kerana kesalahan berkaitan dadah selepas dipercayai mengangkut 72 PATI menggunakan sebuah lori di Tol Hutan Kampung.

Dalam kes berasingan, tiga anggota tentera turut ditahan kerana disyaki membawa PATI menggunakan dua buah kenderaan di Bukit Kayu Hitam, katanya.

Adzli berkata, modus operandi sindiket adalah membawa PATI ke pesisir pantai menggunakan dua atau tiga bot kecil sebelum dipindahkan ke lori atau kenderaan lain.

“Laluan darat pula masih menggunakan jalan tikus di kawasan Durian Burung walaupun trend kemasukan kini lebih banyak melalui jalan laut,” tegasnya.


Scroll to Top