London: Pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez diberitahu supaya bersikap matang oleh legenda Old Trafford, Paul Scholes dan Nicky Butt, susulan reaksinya yang pedas terhadap kritikan mereka.
Martinez mencabar Scholes supaya datang ke rumahnya untuk bercakap secara bersemuka selepas bekas pemain tengah England itu bersama bekas rakan sepasukan United, Butt memperlekeh ketinggian pemain Argentina berkenaan.
Scholes dan Butt mempersendakan peluang pertahanan bertubuh kecil itu untuk memenangi perebutan bola menentang penyerang tinggi lampai Manchester City, Erling Haaland dalam perlawanan derbi pada Sabtu.
Kedua-duanya bergurau dengan mengatakan Haaland boleh mengangkat Martinez dan berlari bersamanya.
Namun Martinez membalas dengan aksi cemerlang apabila membantu United menang 2-0, sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang tajam terhadap kritikan Scholes dan Butt.
Bekas duo United itu membincangkan komen Martinez dalam episod terbaharu podcast mereka, The Good, The Bad and The Football pada Isnin.
Scholes memuji persembahan Martinez, tetapi mengakui masih mempunyai keraguan terhadap pemain berusia 28 tahun itu.
“Kritikan menyemarakkan seseorang,” katanya.
“Saya rasa kami patut mengambil sedikit kredit atas persembahan Martinez pada Sabtu.
“Dia hanya beraksi cemerlang dalam satu perlawanan, tetapi apabila anda mula bercakap besar, permainan ini ada caranya sendiri untuk memakan diri anda semula.
“Pendapat saya masih belum berubah. Saya masih tidak pasti anda boleh memenangi liga bersamanya. Dia perlu membuktikannya dalam tempoh yang panjang. Apa yang dia lakukan pada Sabtu memang hebat, tetapi anda perlu melakukannya secara konsisten.”
Scholes turut mendakwa dia pernah bertukar mesej dengan Martinez di media sosial dan memberikan nombor telefonnya kepada pemain itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Sementara itu, Butt berkata, reaksi Martinez terhadap komen mereka menimbulkan persoalan mengenai mentalitinya.
“Ia sekadar gurauan, jelas sekali Haaland tidak akan benar-benar mengangkatnya dan berlari, itu hanya kiasan,” katanya.
“Apabila seseorang terlalu tersinggung dengan sesuatu yang diperkatakan dalam media atau podcast hingga berkata, ‘Datang ke rumah saya’, itu menunjukkan ketidakmatangan.
“Sejujurnya, jika anda terlalu emosional terhadap apa yang orang katakan mengenai anda, anda tidak sepatutnya berada di kelab bola sepak besar kerana perkara seperti itu akan berlaku sepanjang karier anda di Manchester United.
“Tiada isu peribadi antara kami dan Martinez, langsung tiada.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




