KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemui mati di sebuah pusat beli belah terkemuka, Suria KLCC di ibu negara hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku tengahari tadi selepas polis menerima aduan orang awam mengenai lelaki terjun dan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bertindak atas laporan awam jam 1.52 petang itu, pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.
“Di situ polis mendapati mangsa seorang lelaki tempatan dikenalpasti berusia 25 tahun berada di atas lantai dalam keadaan terlantang dan tidak sedar diri.
“Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah dipanggil sebelum memeriksa mangsa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zainal, hasil siasatan awal polis melalui kamera litar tertutup di pusat beli belah itu mendapati mangsa terjun dari tingkat empat di bangunan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut polis juga mendapati mangsa mempunyai kad rawatan psikiatrik dari Hospital Klang berdasarkan kepada dokumen yang dijumpai di dalam beg galas yang disandangnya.
“Mayat mangsa telah dibawa ke HKL menggunakan ambulans untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tegasnya.
Sebelum itu, video berkenaan insiden itu tular di media sosial menerusi seorang pengunjung pusat beli belah itu yang merakamnya menggunakan telefon bimbit.
Video lebih dua minit itu menunjukkan para pegawai keselamatan yang bertugas menutup mayat menggunakan kain merah.
Beberapa minit kemudian lebih tiga pegawai perubatan dan HKL sedang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa.- MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN:




