Lelaki mengaku bersalah miliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, video lucah

Lelaki mengaku bersalah miliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, video lucah

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Seorang pekerja kilang ais mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dan video lucah.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Muhammad Affandi Mohd Azi, 33, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.50 malam 23 November lalu di Kampung Batangan, Marang.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki video lucah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Asisten Superintendan Tuan Norhasnida Tuan Nordin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari depan untuk hukuman di Mahkamah Majistret Marang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top