Lesen pemandu kenderaan perdagangan, awam digantung serta-merta jika terbabit kemalangan

Lesen pemandu kenderaan perdagangan, awam digantung serta-merta jika terbabit kemalangan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lesen pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang terbabit kemalangan akan digantung serta-merta, sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas secara drastik itu antara langkah penambahbaikan yang dijalankan JPJ bagi memastikan pemandu terbabit mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

“Mana-mana pemegang lesen memandu vokasional (PSV) atau lesen kenderaan barangan (GDL) yang terbabit kemalangan dan sedang disiasat pihak polis akan digantung lesen mereka.

“Seterusnya jika pemandu itu didapati bersalah atau dikenakan notis mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), lesen mereka boleh dibatalkan oleh JPJ mengikut peruntukan Seksyen 56 (4)(b) Akta 333.

“Kita sudah pun melaksanakan tindakan itu terhadap lima pemandu antaranya pemandu lori yang terbabit kemalangan dengan kenderaan FRU baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Mengulas lanjut, Aedy berkata, pemandu kenderaan perdagangan yang didapati bersalah pula akan dikenakan tindakan gantung lesen dan wajib mengikuti latihan semula untuk mengaktifkan semula lesen atau dikeluarkan dari senarai gantung.

“Program Latihan Semula ini akan dianjurkan oleh pihak JPJ di lokasi yang akan ditetapkan kelak.

“Namun, semua pemandu akan turut dikenakan fi bagi menampung kos program latihan berkenaan,” katanya.

Katanya, pengisian program latihan semula itu akan merangkumi pengajaran semula pengetahuan berkaitan dengan kompetensi pemanduan termasuk peraturan jalan raya, aspek pemanduan selamat, perubahan minda dan pengendalian kenderaan secara selamat.

Tambah beliau, JPJ juga sedang meneliti lanjut mengenai program itu termasuk tempoh masa yang wajib dilengkapkan calon dengan perincian terbabit akan dimaklumkan dalam masa terdekat menerusi laman web rasmi JPJ.

“Kedua-dua tindakan penambahbaikan ini berpandukan kepada peruntukan Akta 333 dalam mengawal selia, menguatkuasa peraturan serta memastikan kompetensi pemandu terutamanya kenderaan perdagangan berada pada tahap baik,” katanya.

Beliau berharap melalui penguatkuasaan itu pemandu kenderaan perdagangan termasuk bas sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah serta mementingkan keselamatan penumpang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top