saufi@mediaprima.com.my
Padanan spesifikasi terkini di samping saiz kompak dan ketahanan bateri menjadi taruhan untuk generasi laptop Acer Nitro V14.
Laptop ini direka khusus untuk pengguna yang mengutamakan gaya serta prestasi dan peranti ini menggabungkan reka bentuk dinamik dengan spesifikasi berkuasa yang sesuai untuk permainan, kerja atau produktiviti semasa.
Menyentuh aspek spesifikasi, laptop ini menggunakan saiz skrin 14.6 inci dengan resolusi WQXGA bersama paparan panel IPS.
Skrin paparan ini menawarkan kadar segar semula 120Hz, masa tindak balas 3ms dan sokongan gamut warna 100 peratus sRGB dan memastikan visual yang lancar serta warna yang terang, sesuai untuk pencipta kandungan dan gamer tegar.
Nitro V 14 dikuasakan oleh pemproses AMD Ryzen 7 8845HS dan grafik NVIDIA GeForce RTX 4050.
Gabungan ini memberi jaminan prestasi hebat dalam multitugas dan permainan AAA.
Ia turut disertakan memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan pantas 1TB PCIe Gen4 NVMe SSD yang mempercepatkan proses but dan pemindahan fail.
Satu ciri yang menonjol ialah sokongan MUX Switch yang membolehkan pengguna bertukar antara mod GPU berprestasi tinggi atau mod jimat bateri dengan mudah, sesuai untuk mereka yang sering bergerak dan memerlukan kawalan ke atas prestasi serta hayat bateri.
Reka bentuk warna putih mutiara bukan sahaja menonjol dalam kalangan komputer riba gaming, malah menjadikannya kelihatan profesional dalam persekitaran kerja.
Ia sesuai untuk pelajar, profesional muda mahupun kaki ‘gamer’ kasual yang mahu peranti serba guna.
Laptop ini juga mampu untuk melancarkan sebarang genre permainan dan ujian dilaksanakan terhadap Assassins Creed Shadows yang tampil dengan mod dunia terbuka.
Mod dunia terbuka ini memerlukan keupayaan laptop terkini kerana memerlukan keupayaan perkakasan dan Acer Nitro V 14 ini mampu untuk melaksanakan permainan berkenaan dengan bacaan bingkai sesaat (FPS) 60 hingga 75FPS tanpa sebarang masalah.
Pada masa sama, ujian terhadap perisian penyuntingan video juga sangat baik apabila proses video dengan resolusi 4K dan durasi 10 minit mampu disiapkan dalam tempoh kurang lima minit.
Secara keseluruhannya, Acer Nitro V 14 ialah sebuah komputer riba yang menyatukan prestasi, reka bentuk bergaya dan mobiliti. Ia adalah pilihan ideal untuk sesiapa yang mencari keseimbangan antara produktiviti dan hiburan dalam bentuk yang mudah dibawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




