Silverstone: Pelumba tuan rumah, Lando Norris, akhirnya menamatkan penantian apabila muncul juara Grand Prix (GP) Britain buat kali pertama dalam kerjayanya dalam satu perlumbaan penuh drama yang menyaksikan McLaren menguasai kedudukan 1-2, malam tadi.
Rakan sepasukan, Oscar Piastri, yang mendahului kedudukan pelumba dunia, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dikenakan penalti 10 saat kerana kesalahan ketika tempoh kereta keselamatan, sekali gus memberi laluan kepada Norris untuk meraih kemenangan penuh bermakna di hadapan penyokong sendiri.
Lebih mengejutkan, tempat ketiga menjadi milik pelumba veteran Jerman, Nico Hulkenberg, yang mencipta sejarah peribadi apabila mendaki 16 posisi dari petak belakang untuk meraih podium pertama dalam 239 perlumbaan, sekali gus menamatkan statusnya sebagai pelumba paling banyak penyertaan tanpa podium dalam sejarah Formula Satu (F1).
Perlumbaan di litar Silverstone berlangsung dalam keadaan basah dan huru-hara, dengan beberapa insiden, kemalangan serta kemunculan berulang kereta keselamatan yang mencabar kecekapan strategi pasukan dan ketangkasan pemandu.
Dengan kemenangan ini, Norris kini hanya ketinggalan lapan mata di belakang Piastri dalam kejuaraan keseluruhan, ketika musim F1 2025 memasuki separuh kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




