MAHB jangka peningkatan penumpang sepanjang musim cuti

Kuala Lumpur : Berikutan kelonggaran dalam perjalanan domestik, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangka peningkatan penumpang di rangkaian lapangan terbangnya pada musim cuti panjang ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataannya memaklumkan hab utama mereka, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (kod IATA: KUL) menjangka lebih 99,000 penumpang domestik dan 19,000 penumpang antarabangsa untuk tempoh antara 24 – 31 Dis, 2020, meningkat empat kali ganda berbanding tempoh sama bulan lepas.
Beliau berkata, lapangan terbang MAHB bersedia untuk menerima pergerakan penumpang yang meningkat dengan pematuhan yang ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.
“Lapangan terbang di seluruh negara telah meningkatkan langkah waspada untuk memastikan semua langkah keselamatan yang disediakan dilaksanakan dengan baik supaya perjalanan penumpang memuaskan dalam norma baru.
“Barisan hadapan lapangan terbang kami akan berada di lapangan untuk membantu penumpang dan memastikan proses di setiap lokasi berjalan lancar.
“Dalam kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua penumpang, kami mengingatkan anda untuk turut memainkan peranan dalam mematuhi norma baharu perjalanan, iaitu dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sering membersih dan mencuci tangan untuk memastikan kebersihannya,” katanya.
Selain itu, MAHB juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua penumpang untuk menyemak jadual penerbangan terkini; kelayakan mereka untuk melakukan perjalanan berdasarkan SOP terkini yang diumumkan oleh kerajaan; keperluan kepada sebarang dokumen tambahan atau ujian perubatan (ujian swab COVID-19) yang diperlukan sebelum tiba di lapangan terbang, dan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu penerbangan berlepas.

ZA137 Malay News
National Desk

Scroll to Top