sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027 dengan langkah kiri selepas tumbang 0-2 di tangan Palestin pada aksi pertama Kumpulan E di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kegagalan anak buah Shukor Adan menyempurnakan beberapa peluang yang dicipta jelas membawa padah yang menyaksikan mereka terpaksa akur terlepas mata pada aksi pembukaan itu.
Keputusan itu menyaksikan skuad B-16 negara menyertai Guam yang turut tumbang pada aksi pertama selepas mereka dibelasah Singapura 0-6 dan mereka akan menentang Singapura di venue sama, Sabtu ini.
Malaysia mendominasi awal permainan dengan peluang terbaik hadir seawal minit kedua apabila Muhammad Haziq Shakirin merampas bola dari kaki pertahanan Palestin namun usahanya mendapatkan gol pembukaan dihalang pertahanan Palestin.
Palestin menguji gawang negara menerusi percubaan Mohammed Qasim Mohammed Jamhour yang berjaya ditepis Adam Fakhrullah Mohd Fadli pada minit ke-15.
Adam Nurfakhrullah akhirnya tewas pada minit ke-16 selepas sepakan percuma Abdelrahman W S Sharifeh disudahkan dengan sepakan voli Yazan Anan Al Khalifah untuk Palestin mendahului 1-0.
Malaysia sekali lagi mensia-siakan peluang di hadapan gol pada minit ke-20 apabila tampanan kurang kemas Haziq di hadapan pintu gol Palestin melambung tinggi.
Penjaga gol Palestin, Mohammed S A Abdalkarim memastikan mereka terus di depan apabila cemerlang menafikan percubaan satu lawan satu Muhammad Fahim Akmal Zulkarnain menggunakan kakinya pada minit ke-28.
Palestin hanya memerlukan enam minit selepas rehat untuk melebarkan jurang selepas sepakan sudut Sharifeh disudahkan Yousef Alexander Bustami sekali gus membolehkan Palestin mendahului 2-0.
Malaysia terlepas peluang mengutip gol saguhati di hujung permainan selepas sepakan penalti Ahmad Aidil Mukhridz Ahmad Ridzalman ditepis Mohammed S A Abdalkarim dan meskipun Mohamad Fazyrel Ashraf Zefri menyambar bola muntah namun gol tidak dikira kerana Fazyrel terlebih dahulu ofsaid.
Kedudukan 0-2 kekal berpihak buat Palestin dan menyaksikan mereka membuka kempen kelayakan dengan tiga mata pertama.
Sebagai rekod, hanya juara setiap kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan, Mei tahun depan.
Setakat ini, sembilan pasukan sudah layak ke pusingan akhir iaitu Uzbekistan, Australia, Arab Saudi, Tajikistan, Jepun, China, Vietnam, Korea Selatan dan Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd