KUALA LUMPUR – Kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia diperkukuh menerusi pembangunan model Integrated Work-Based Learning Ecosystem (IWBLE) yang bertujuan meningkatkan kompetensi serta daya saing tenaga kerja Indonesia di peringkat antarabangsa.
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Seminar Antarabangsa Integrated Work-Based Learning Ecosystem for Indonesian Migrant Workers: A Human Capital Development Framework yang dianjurkan bersama Innovative University College (IUC), Sekolah Tinggi Teknologi Bina Tunggal dan Forum Komunikasi Lembaga Pelatihan dengan Industri Daerah Jawa Barat di pejabat IUC di sini pada Selasa.
Model IWBLE menggabungkan peranan institusi pendidikan, industri, kerajaan, teknologi serta latihan vokasional dalam membentuk ekosistem pembangunan sumber manusia yang lebih mampan, inklusif dan berorientasikan keperluan pasaran kerja global.
Pengarah program IWBLE dari IUC, Mejar (B) Mohd Yusri Abdul Rahim berkata, program Work Based Learning (WBL) memberi peluang kepada peserta mengikuti pengajian akademik sambil memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam industri.
Menurutnya, peserta WBL dipilih melalui proses saringan bersama pihak universiti dan industri sebelum mengikuti program yang menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan praktikal.
“Peserta WBL menjalani pembelajaran akademik selama tiga tahun sambil bekerja dalam industri. Kurikulum dibangunkan bersama pihak industri supaya kemahiran yang diperoleh selari dengan keperluan dunia pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital serta gabungan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian turut membantu meningkatkan kebolehpasaran peserta secara lebih berkesan.
Indonesia merupakan antara negara utama penghantar pekerja migran di dunia dengan jutaan rakyatnya bekerja di luar negara termasuk Malaysia, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Arab Saudi.
Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi utama pekerja migran Indonesia susulan hubungan dua hala yang kukuh serta permintaan terhadap tenaga kerja dalam pelbagai sektor.
Melalui pendekatan WBL, peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman profesional tetapi turut mendapat pengiktirafan akademik dan kompetensi yang mampu meningkatkan peluang kerjaya mereka.
Ketua Forum Komunikasi Lembaga Pelatihan dengan Industri Daerah (FKLPID) Jawa Barat, Profesor Madya Benny Tunggul HS berkata, program WBL perlu difahami sebagai inisiatif pembangunan kompetensi tenaga kerja dan bukan sebahagian daripada proses penempatan pekerja migran Indonesia.
Menurut beliau, kerjasama Work Based Learning bersama Kementerian Ketenagakerjaan Republik Indonesia memberi tumpuan kepada latihan vokasional berdasarkan keperluan pasaran kerja serta peningkatan kemahiran untuk bersaing di peringkat global.
“WBL bukan mempunyai konsep yang sama dengan penempatan pekerja migran Indonesia. Ia berasaskan pembangunan kompetensi melalui integrasi pembelajaran dan pengalaman kerja bagi melahirkan sumber manusia yang kompeten, adaptif, produktif serta berdaya saing global,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri dengan memastikan latihan yang diberikan selari dengan kehendak sebenar dunia pekerjaan.
Sementara itu, pakar industri, Profesor Hamdan Daniel berkata, konsep WBL memberikan nilai tambah kerana ia menghubungkan dunia pendidikan dan pekerjaan secara serentak.
Katanya, pasaran kerja masa kini memerlukan lebih daripada kelayakan akademik, sebaliknya turut menuntut kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi.
“Selama ini pendidikan bergerak sebelum seseorang memasuki dunia kerja. Melalui WBL, kedua-dua elemen itu digabungkan bagi mewujudkan pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan manusia yang mampan,” katanya.
IWBLE turut menggunakan pendekatan kerjasama Triple Helix yang melibatkan kerajaan, universiti dan industri, selain diperluaskan kepada Quadruple Helix dengan penyertaan komuniti serta konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui ekosistem itu, kerajaan berperanan menyediakan dasar dan sokongan, universiti mengiktiraf pembelajaran berasaskan pengalaman kerja, industri menyediakan latihan praktikal manakala institusi latihan memastikan kemahiran peserta memenuhi kehendak pasaran.
Pihak penganjur berkata, model IWBLE berpotensi dikembangkan sebagai kerangka pembangunan modal insan bagi meningkatkan kualiti tenaga kerja Indonesia menerusi latihan berasaskan industri, pensijilan kompetensi dan pengiktirafan kemahiran di peringkat antarabangsa.
Kerjasama Malaysia-Indonesia itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan, meningkatkan mobiliti kerjaya serta melahirkan tenaga kerja yang lebih berkualiti, produktif dan berdaya saing dalam ekonomi global.



