Malaysia perlu bina sistem pengurusan bencana udara bersepadu – Ahmad Zahid

Malaysia perlu bina sistem pengurusan bencana udara bersepadu – Ahmad Zahid

SEPANG – Malaysia perlu membangunkan satu sistem pengurusan bencana udara yang membolehkan semua agensi berkongsi gambaran situasi yang sama, memahami arahan yang seragam dan bertindak secara serentak bagi memastikan tindak balas kecemasan lebih pantas dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip “satu sistem, satu arahan dan satu tindakan” perlu menjadi asas kepada pengurusan bencana negara supaya semua aset, kepakaran dan kuasa pelbagai agensi dapat digerakkan ke arah matlamat yang sama, iaitu menyelamatkan nyawa dan mengawal keadaan secepat mungkin.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga krisis sebenar berlaku untuk mengetahui sama ada arahan kita jelas, komunikasi kita berkesan dan semua agensi mampu bergerak dalam satu rentak.

“Dalam mengurus bencana udara, kita tidak boleh bergerak sebagai agensi yang terpisah-pisah. Apabila krisis berlaku, kita mesti bertindak sebagai satu pasukan nasional dengan satu matlamat yang jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Azmil Khalid, dan Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani,

Ahmad Zahid berkata, kekuatan sebenar sistem pengurusan bencana bukan terletak pada jumlah aset atau anggota yang dimiliki, sebaliknya sejauh mana semua sumber tersebut dapat diselaraskan dalam satu arah ketika berdepan situasi kritikal.

“Kita mesti membina satu sistem yang membolehkan semua agensi melihat situasi yang sama, memahami arahan yang sama dan bertindak pada waktu yang sama.

“Sistem yang baik bukan sistem yang hanya lengkap di atas kertas. Sistem yang baik ialah sistem yang mampu berfungsi ketika tekanan memuncak, maklumat berubah dengan pantas dan keputusan perlu dibuat dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.

Berhubung program hari ini, Ahmad Zahid berkata, bengkel ini amat penting untuk setiap agensi dan pihak terlibat menguji prosedur, menilai komunikasi, memperjelas peranan dan melihat kemampuan sebenar sistem pengurusan bencana udara.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu bengkel berkenaan memberikan tumpuan kepada empat keutamaan utama, iaitu memperjelas rantaian arahan dan kuasa membuat keputusan termasuk menyemak prosedur sedia ada, memperkukuh perkongsian maklumat serta komunikasi bersepadu antara agensi, memperluas latihan berasaskan senario sebenar di pelbagai lokasi termasuk kawasan luar perimeter dan sukar diakses, serta mempercepat pendigitalan pengurusan bencana.

Kerajaan, katanya, akan terus menyokong usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui dasar, penyelarasan dan pembangunan keupayaan.

Mengulas kepentingan keselamatan penerbangan, Ahmad Zahid berkata, aspek itu bukan sekadar isu teknikal atau operasi, sebaliknya merupakan kepentingan strategik negara kerana sektor penerbangan menghubungkan manusia, menggerakkan perdagangan, menarik pelaburan serta menyokong industri pelancongan.

Beliau berkata, tahun lepas, Malaysia menerima 42.2 juta pelancong antarabangsa yang menjana hasil RM110.6 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM121.3 bilion.

“Pelaburan dalam kesiapsiagaan bencana mesti dilihat sebagai pelaburan untuk melindungi nyawa, mempertahankan keyakinan dunia terhadap Malaysia dan memastikan setiap sektor terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Bengkel dua hari hingga esok itu disertai lebih daripada 100 wakil kementerian, agensi penguat kuasa, keselamatan, penyelamat, kecemasan, syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang, dan pemain industri berkaitan termasuk pemerhati serta pengadil. – Bernama

 

Scroll to Top