Manifesto BN punyai tawaran menarik – Tuan Ibrahim

Manifesto BN punyai tawaran menarik – Tuan Ibrahim

SEREMBAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dibentangkan malam ini disifatkan mampu memacu negeri ini mencapai kejayaan yang dicita-citakan oleh rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manifesto itu mengandungi beberapa tawaran sangat menarik terutamanya tawaran untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah makanan selain menangani isu alam sekitar, pekerjaan dan perumahan.

Katanya, beliau percaya ia adalah antara isu-isu utama yang menjadi keperluan bagi rakyat di negeri ini khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Saya hadir malam ni mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk menyatakan sokongan kami kepada manifesto yang telah dibentangkan BN.

“Saya lihat bahawa penyatuan atau pun kerjasama antara kedua-dua pihak pada kali ini diharap membuahkan hasil yang baik,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran manifesto berkenaan oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, isi kandungan manifesto BN mempunyai hasrat yang sama seperti PN dalam hal ehwal rakyat dan pembangunan negeri.

Jelasnya, PN akan membentangkan manifesto untuk PRN Negeri Sembilan kali ini malam esok.

“Manifesto PN dan BN akan berfungsi saling melengkapi antara satu sama lain dalam konten pencapaian,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top