PERSATUAN Pereka Bumiputera Malaysia (Malaysian Bumiputra Designer Association – MBDA) melakar satu lagi pencapaian penting dalam industri fesyen negara menerusi penyertaan pada The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026.
Berlangsung di M Resort Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, acara berprestij tersebut meraikan kreativiti, ketukangan serta inovasi di samping mengetengahkan pengaruh yang semakin berkembang dalam kalangan pereka Bumiputra Malaysia di persada fesyen lelaki kontemporari.
Melalui penyertaan itu, MBDA mengetengahkan tujuh jenama fesyen yang membawa identiti tersendiri menerusi gabungan warisan budaya Malaysia, seni pertukangan dan sentuhan rekaan moden, iaitu Batek by Rasta Rashid, Kalai House of Linen, Rushai Leather, Bujins Batik, Shingary Diamonia, Maswira Majid dan Hermosa Wear.
Pengasas bersama dan penasihat MBDA, Rasta Rashid berkata, The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026 bukan sekadar mengenai fesyen, malah merupakan satu sambutan terhadap kreativiti rakyat Malaysia, identiti budaya dan kecemerlangan keusahawanan.
“Kami berbangga dapat menyediakan platform yang memperkasakan pereka Bumiputra untuk menampilkan bakat mereka di pentas berprestij, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu pereka fesyen negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Diasaskan Yang Berhormat Mulia Datuk Sri Raja Rezza Shah (enam dari kiri) The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week menjadi platform penting kepada pereka fesyen baharu dan mapan untuk memperkenalkan koleksi kepada pemain industri, pembeli, wakil media serta pencinta fesyen.
Setiap pereka membawa identiti kreatif tersendiri ke pentas peragaan dengan mempersembahkan koleksi yang menggabungkan keindahan seni warisan Malaysia bersama siluet moden serta inspirasi trend fesyen antarabangsa.
Daripada hasil kraftangan kulit premium dan busana linen yang elegan, kepada interpretasi batik kontemporari serta rekaan menswear yang sofistikated, keseluruhan persembahan mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan industri fesyen Bumiputra Malaysia.
Diasaskan Yang Berhormat Mulia Datuk Sri Raja Rezza Shah, The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week menjadi platform penting kepada pereka fesyen baharu dan mapan untuk memperkenalkan koleksi mereka kepada pemain industri, pembeli, wakil media serta pencinta fesyen.
Menerusi penyertaan ini juga MBDA meneruskan komitmennya dalam mempromosikan bakat tempatan sambil memperkukuhkan kedudukan pereka Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
Persatuan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week, M Resort Hotel, rakan-rakan industri, wakil media, para penaja serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan acara ini.



