Menyemai empati digital dalam kalangan masyarakat

Menyemai empati digital dalam kalangan masyarakat

suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Digital Empathy 5KM Fun Run 2026, inisiatif kesedaran komuniti yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan advokasi keselamatan siber, mencatatkan kejayaan memberangsangkan apabila berjaya menghimpunkan seramai lebih 200 peserta terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan orang awam.

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula pada 7 pagi, program yang disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim itu dianjurkan pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, UiTM Shah Alam dengan kolaborasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program ini adalah sebahagian daripada kempen “Think Before You Type: Make Kindness Viral” yang diperkenalkan sebagai platform pendidikan dan advokasi bagi mendidik masyarakat mengenai kesan negatif buli siber.

Selain itu, ia juga memupuk nilai perpaduan dan solidariti masyarakat dalam menentang budaya buli serta mewujudkan budaya komunikasi digital yang lebih sihat serta beretika.

Ia juga dianjurkan bagi memenuhi keperluan akademik gabungan dua subjek pengkhususan dibawah bimbingan Norhayati Baba dan Sharifah Yuliana sebagai penasihat program, selain mendorong pelajar menterjemahkan teori kepimpinan dan advokasi awam ke dalam bentuk tindakan komuniti yang nyata.

Berbeza dengan program larian lain, keunikan Digital Empathy 5KM Fun Run terserlah menerusi pelaksanaan empat titik semakan (checkpoint) interaktif, yang wajib diselesaikan setiap peserta bagi melayakkan mereka menerima pingat penamat.

Malah, tiga daripada empat checkpoint itu direka khusus untuk memberi pendedahan secara kreatif mengenai isu buli siber.

Antara checkpoint yang disediakan ialah Pose and Go, yang memerlukan peserta mengekspresikan reaksi fizikal berdasarkan situasi digital tertentu dan Water Station, stesen hidrasi yang menyediakan minuman dan makanan bertenaga.

Checkpoint ketiga iaitu Choose Your Move & Cybertag pula menuntut peserta melakukan aksi ringkas berkaitan simulasi buli siber dan menampal pelekat interaktif berdasarkan pengalaman atau pemerhatian mereka terhadap isu buli siber di media sosial.

Akhir sekali, checkpoint empat, Advocacy Booth iaitu sesi taklimat ringkas dan advokasi mengenai bahaya buli siber sebelum peserta dianugerahkan pingat sebagai simbol komitmen mereka terhadap etika digital.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi memuji inisiatif yang menyuntik elemen pendidikan dalam aktiviti riadah komuniti.

Beliau menyifatkan program itu sebagai satu pendekatan lebih segar dan relevan dengan cabaran semasa.

“Satu pendekatan yang bagus daripada Program Digital Empathy dalam menangani isu buli siber yang meningkat pada waktu ini. “Kita perlu mempraktikkan etika dan perilaku yang bermoral apabila di ruangan siber untuk mengekalkan keharmonian yang sedia ada,” katanya.

Turut hadir Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar, Ahli Majlis MBSA Tengku Ahmad Tengku Kasim dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBSA Shahrin Ahmad.

Sementara itu, peserta Arisya Sofia, 23, tidak menyangka Digital Empathy 5KM Fun Run 2026 adalah pengalaman pertamanya menyertai acara larian yang sangat menarik kerana mengetengahkan elemen anti-cyberbuli.

“Program ini sangat menarik kerana ia bukan sekadar acara larian sebaliknya mengetengahkan elemen anti-cyberbuli.

“Melalui larian ini, kesedaran mengenai isu cyberbuli dapat diketengahkan. “Aktiviti permainan di setiap checkpoint juga menjadikan pengalaman larian lebih menyeronokkan dan mengujakan peserta,”katanya.

Digital Empathy 5KM Fun Run 2026 ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti digital yang lebih bertanggungjawab, beretika dan saling menghormati, selaras dengan matlamat melahirkan masyarakat Malaysia yang matang dalam mendepani arus teknologi tanpa sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top