Los Angeles: Mikel Merino semakin bersemangat untuk membantu Sepanyol mara ke separuh akhir Piala Dunia, namun skuad kendalian Luis de la Fuente itu perlu melepasi cabaran Belgium di suku akhir di Inglewood, California, pagi Sabtu ini.
Merino menjadi wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika menewaskan Portugal 1-0 pada pusingan 16 terakhir Isnin lalu.
Namun, jaringan penting itu bukan satu-satunya sebab pemain tengah Arsenal itu menghargai peluang beraksi di pentas terbesar dunia.
Peluang Merino beraksi di Piala Dunia hampir musnah selepas mengalami kecederaan dan menjalani pembedahan pada penghujung Januari lalu.
Walaupun hanya bermain kurang 30 minit dalam tempoh persiapan sebelum kejohanan, De la Fuente tetap yakin dengan kemampuan pemain berusia 30 tahun itu.
“Saya mempunyai kasih sayang kepada semua pemain, tetapi ada sesuatu yang istimewa dengan Mikel Merino kerana kami sudah lama mengenali satu sama lain.
“Jika perlu, saya sanggup pergi mengambilnya di rumahnya. Dia pemain bertaraf dunia,” kata De la Fuente.
De la Fuente percaya Sepanyol memiliki kemampuan untuk melangkah lebih jauh.
“Kami mempunyai banyak kualiti yang membuatkan lawan berfikir kami adalah pasukan yang perlu ditewaskan. Kami sangat yakin dengan diri sendiri dan akan memberikan yang terbaik sehingga saat terakhir. Lawan perlu menewaskan kami,” katanya.
Kepercayaan jurulatih itu dibalas apabila Merino masuk sebagai pemain gantian sebelum mencetak gol kemenangan pada minit ke-85.
“Hidup ada naik dan turun, ada masa baik dan buruk. Apabila diberitahu mengenai kecederaan itu, saya fikir saya tidak akan berada di Piala Dunia dan kini kami di sini.
“Beberapa bulan lalu, peluang untuk berada di sini sesuatu yang mustahil,” kata Merino.
Gol lewat Merino membuka peluang buat Belgium menguji benteng Sepanyol yang cukup ampuh selepas pasukan itu belum bolos sepanjang lima perlawanan dengan penjaga gol, Unai Simon merekodkan 609 minit tanpa dibolosi.
Namun Belgium hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Amerika Syarikat (AS) 4-1 dengan Charles De Ketelaere meledak dua gol.
Belgium turut membuktikan kedalaman skuad mereka apabila menang walaupun merehatkan Kevin De Bruyne, manakala Jeremy Doku hanya diturunkan pada minit ke-67.
Jurulatih Belgium, Rudi Garcia turut memasukkan Romelu Lukaku sebagai pemain gantian dan penyerang itu berjaya menjaringkan gol ketiganya dalam kejohanan.
“Kami mahu terus beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan seterusnya tetapi kami tahu Sepanyol sangat sukar ditewaskan,” kata kapten Belgium, Youri Tielemans.
Pemenang perlawanan ini akan menentang pemenang aksi suku akhir antara Perancis dan Maghribi di separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




