Barcelona: Jose Mourinho meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pegawai Video Pembantu Pengadil (VAR) meskipun Real Madrid mencatatkan kemenangan dramatik di tempat lawan menentang musuh tradisi, Barcelona.
Pengendali kelahiran Portugal itu menggamit kenangan lalu dengan melakukan aksi gelungsur lutut ikonik selepas Kylian Mbappe meledak gol kemenangan pada minit-minit akhir, sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang Barcelona dalam saingan La Liga.
Kali terakhir Mourinho melakukan aksi terbabit adalah 14 tahun lalu apabila Cristiano Ronaldo mengesahkan kemenangan menerusi kebangkitan minit ke-90 menentang Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, sidang media beliau diwarnai dengan nada kekecewaan terhadap mutu pengadilan apabila menegaskan ‘pengadil di padang sangat baik tetapi pegawai VAR ‘tertidur’.
“Terdapat satu layangan kad merah yang jelas sepatutnya diberikan kepada (Joao) Cancelo ke atas (Yan) Diomande dan insiden itu mampu mengubah keseluruhan perlawanan.”
Pengadil, Juan Martinez Munuera meneruskan perlawanan namun ulangan video menunjukkan Cancelo seakan-akan memijak penyerang berkenaan.
Beberapa minit selepas insiden itu, Raphinha menyamakan kedudukan dan Barcelona berpeluang merampas kemenangan menerusi beberapa percubaan Raphinha serta Lamine Yamal.
Mourinho menambah ‘pada pandangan saya, Real Madrid bukan bermain sekadar untuk menang di Camp Nou. Real Madrid bermain untuk menjuarai La Liga.
“Ini yang perlu menjadi mentaliti pasukan. Kita perlu meneruskan rentak ini dan tidak terlalu teruja selepas kemenangan ini.”
Pengendali terbabit kini semakin membina momentum pada penggal keduanya selaku pengendali di Santiago Bernabeu dengan mencatatkan lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Mbappe terlebih dahulu meletakkan Madrid di hadapan sebelum Raphinha menyamakan kedudukan namun, calon Anugerah Ballon d’Or itu melengkapkan malam gemilangnya menerusi gol kemenangan pada minit ke-87.
Pertahanan Barcelona, Pau Cubarsi melakukan dua kesilapan apabila secara tidak sengaja tertanduk bola ke arah Mbappe untuk gol pertama sebelum tewas dalam situasi satu lawan satu kepada Yan Diomande yang mencipta ruang bagi gol kedua.
Kemenangan itu sekali gus meleburkan rekod bersih Barcelona pada awal musim ini dan meletakkan Madrid di hadapan dalam rekod pertemuan sepanjang zaman El Clasico.
Madrid kini mengumpul 107 kemenangan dalam aksi pertembungan seteru berbanding Barcelona (106), manakala 52 perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Mourinho kini merekodkan enam kemenangan, enam seri dan enam kekalahan sepanjang pembabitannya dalam persaingan tradisi yang sudah berlanjutan sejak tahun 1888 itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




