Muhyiddin tidak kelihatan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat

Muhyiddin tidak kelihatan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak kelihatan menghadiri hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketiadaan bekas Perdana Menteri itu mencuri perhatian selepas susunan tempat duduk baharu Dewan Rakyat yang berkuat kuasa pada persidangan kali ini memperlihatkan beliau tidak lagi berada di barisan hadapan blok pembangkang.

Berdasarkan pemerhatian di Dewan Rakyat, kerusi Muhyiddin di Blok E kekal kosong sepanjang sesi pagi, manakala Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama barisan kepimpinan blok itu menghadiri persidangan seperti biasa.

Sebelum ini, Muhyiddin yang pernah memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ditempatkan bersebelahan Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, berdasarkan pelan susunan terkini tempat duduk Ahli Parlimen, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu telah dipindahkan ke Blok E, manakala Hamzah kekal di barisan hadapan blok pembangkang bersama Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Perubahan kedudukan itu berlaku susulan rombakan kepimpinan dalam PN yang menyaksikan Ahmad Samsuri dilantik sebagai Pengerusi gabungan berkenaan menggantikan Muhyiddin.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai depan.

Scroll to Top