Nadal sertai Terbuka Barcelona

Madrid: Juara 11 kali Terbuka Barcelona, Rafael Nadal mengesahkan penyertaan di kejohanan kegemarannya, ATP 500 untuk kali ke-16 pada 19-25 April depan.

Kejohanan ATP kelima terbesar di atas gelanggang tanah liat itu bakal menarik ramai bintang tenis handalan dengan Rafa menjadi pemain kegemaran di hadapan penyokong sendiri dan beraksi di stadium yang mengambil sempena namanya.

Nadal akan berentap di Barcelona untuk kali ke-16, memegang rekod 61-4 sejak 2003 dan menjadi pemain pilihan untuk menambah satu lagi koleksi trofinya pada 25 April.

Rafa tampil kali pertama di Barcelona pada 2003 ketika berusia 16 tahun, menang sekali sebelum tewas kepada Alex Corretja.

Antara 2005-2013, Nadal merangkul gelaran kelapan Barcelona untuk muncul pemain paling cemerlang di kejohanan itu sebelum gagal mara ke separuh akhir pada 2014 dan 2015. Bagaimanapun, dia kembali bangkit dengan hanya tewas satu set pada 2016, 2017 dan 2018 untuk menjulang tiga lagi gelaran untuk keseluruhan 11 trofi tetapi pada 2019, Rafa tewas di separuh akhir kepada Dominic Thiem 6-4, 6-4 dalam masa dua jam.