suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keenakan Nasi Lemuni yang kini jarang ditemui serta Kari Kepala Ikan Nyonya dengan aroma rempah ratus istimewa ibarat membawa kembali kenangan masakan tradisional suatu ketika dahulu.
Itulah pengalaman yang bakal dirasai saat menikmati juadah berbuka puasa di AnCasa Hotel Kuala Lumpur menerusi pelancaran Bufet Ramadan 2026, baru-baru ini.
Ramadan tahun ini, hotel ikonik itu tampil berbeza apabila memperkenalkan dua konsep istimewa secara serentak di dua restorannya iaitu di Saffron Brasserie dengan tema Warisan AnCasa dan Restoran Madam Zee yang menampilkan Warisan Peranakan.
Penawaran dua tema berbeza ini bukan sekadar strategi kulinari semata-mata.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan AnCasa Hotel Kuala Lumpur dalam memelihara dan mengetengahkan kepelbagaian budaya serta tradisi masakan Malaysia, melalui pengalaman berbuka yang autentik, bernilai dan inklusif, selari dengan nilai kekeluargaan dan kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti AnCasa Hotels & Resorts, Shah Azam Khan Noor Mohammad, berkata konsep bufet Ramadan tahun ini dirangka bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada tetamu.
Katanya, Ramadan bukan sekadar mengenai juadah tetapi juga kebersamaan, tradisi dan kenangan.
“Tahun ini, kami membawakan pengalaman bufet Ramadan yang lebih istimewa dengan memperkenalkan dua konsep warisan iaitu Warisan AnCasa dan Warisan Peranakan.
“Konsep ini juga sebagai penghargaan kami terhadap kepelbagaian budaya serta cita rasa autentik yang menjadi identiti AnCasa Hotels & Resorts,” katanya.
Di Saffron Brasserie, tema ‘Warisan AnCasa’ membawakan kembara rasa yang memicu nostalgia menerusi sajian tradisional Melayu berteraskan resipi asli kampung.
Chef Eksekutif, Cef Yohanis Jalaluddin, berkata konsep warisan ini diketengahkan berdasarkan maklum balas pelanggan setia yang bukan sahaja menginginkan hidangan kegemaran tetapi juga menu tradisional yang sukar ditemui.
Katanya, salah satu hidangan utama ialah Nasi Lemuni, sajian warisan yang kini sukar ditemui di mana-mana bufet hotel lain. “Selain itu, Gulai Kawah Kambing dan Asam Pedas juga menjadi menu istimewa tahun ini kerana kedua-duanya sering mendapat tempat di hati tetamu.
Hidangan istimewa lain ialah Ayam Rendang Daun Maman, Daging Kandar, Ikan Kari Kampung, Sambal Udang Petai, Sayur Jantung Pisang Lemak Putih, Kambing Bakar, Ikan Bakar dan Sup Gear Box Kambing,” katanya, yang sudah 40 tahun berpengalaman dalam bidang kulinari.
Bagi memastikan kepuasan setiap pelanggan, terdapat lebih 100 jenis hidangan menanti, bermula daripada pembuka selera hinggalah ke barisan pastri yang pelbagai.
Cef Yohanis berkata selain hidangan utama, terdapat pelbagai gerai makanan dan dapur langsung (live kitchen) yang menyediakan hidangan segar.
“Tidak dilupakan pelbagai pilihan pencuci mulut istimewa termasuk Apam Balik AnCasa, pencuci mulut ikonik yang menjadi identiti tradisi di AnCasa Hotel dan sentiasa dicari oleh pengunjung tetap.
“Kita juga menyajikan sajian popular Pakistan seperti Bathura, Panni Puri, Dhall Tarka dan Ayam Madras,” katanya.
Sementara itu, Restoran Madam Zee menampilkan bufet Ramadan bertemakan Warisan Peranakan yang menonjolkan kehalusan masakan Nyonya berasaskan resipi tradisi turun-temurun, sarat dengan rasa dan warisan budaya.
Lebih istimewa, semua hidangan adalah ‘air tangan’ cef berpengalaman yang juga generasi keenam Baba Nyonya dari Jasin, Melaka, Chef Baba Allan Wan Lai Yuan, sekali gus menjadikan sajian bukan sekadar juadah tetapi warisan keluarga turun-temurun.
Antara menu utama yang ‘mesti’ dirasa ialah Kari Kepala Ikan Nyonya, hidangan simbolik masyarakat Peranakan yang melambangkan pembukaan tahun yang baik.
Cef Allan Wan berkata keunikan kari itu terletak pada gabungan rempah-ratus khas Peranakan dan India tanpa penggunaan santan, sekali gus menghasilkan aroma herba tempatan yang kuat dan menggugah selera.
“Hidangan lain yang istimewa ialah Masak Lemak Udang Galah Sungai yang membawa simbol ‘rezeki’, serta juadah itik, Nyonya Itik Soi, yang diangkat sebagai menu istimewa masyarakat Peranakan kerana dahulunya hanya dihidangkan ketika musim perayaan atau majlis perkahwinan.
Hidangan utama lain termasuk Ketam Masak Cili, Sayur Goreng Belacan Empat Raja Melaka dan Satay.
Bagi melengkapkan juadah, Madam Zee menyediakan pelbagai pilihan kuih tradisional antaranya Kuih Gading Galoh, Kuih Ku Merah, Pulut Tekan, Koci Pulut Hitam, Kuih Dadar, Tepung Pelita, Tapai Pulut dan Pengat Manis.
Untuk tempahan awal bagi Warisan AnCasa, harga ditawarkan ialah RM88, manakala Warisan Peranakan RM98 bersih untuk seorang dan tarikh tutup pembelian adalah sebelum 1 Februari.
Harga biasa untuk Warisan AnCasa ialah RM98 bersih bagi dewasa, RM78 bersih bagi warga emas 60 tahun ke atas dan RM58 bersih bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
Manakala harga biasa untuk Warisan Peranakan pula ialah RM118 bersih untuk dewasa, RM78 bersih bagi warga emas 60 tahun ke atas dan RM58 bersih bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
Selain itu, AnCasa Hotel Kuala Lumpur tampil dengan tawaran lebih jimat menerusi pakej Ramadhan Stay & Dine yang menggabungkan pengalaman penginapan selesa, sahur dan juadah berbuka serendah RM338 untuk dua orang dari 21 Februari hingga 19 Mac 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




