Baitulmaqdis: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Khamis memaklumkan beliau mengarahkan tentera Israel menguasai lebih banyak kawasan di Gaza, bermula dengan merampas 70 peratus wilayah Palestin itu ketika penduduknya kian terhimpit di pesisir pantai yang sempit.
Israel kini menguasai kira-kira 64 peratus wilayah berkenaan, hasil serangan ketenteraan selama dua tahun susulan serangan Hamas pada 2023. Di bawah perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) Oktober lalu yang gagal menghentikan serangan atau melucutkan senjata Hamas, tentera Israel sepatutnya berundur ke “Garis Kuning” bagi menandakan had kawalan mereka.
Garis yang ditandakan pada peta tentera itu meletakkan Israel menguasai sekitar 53 peratus Gaza, manakala bakinya di bawah pentadbiran Hamas.
Laporan Reuters mendedahkan Israel secara sebelah pihak mengalih blok konkrit penanda garis itu lebih jauh ke dalam kawasan kawalan Hamas.
Peta keluaran tentera pada Mac menunjukkan zon larangan yang lebih luas, di mana penganalisis menyifatkan ia merangkumi kira-kira 64 peratus keseluruhan wilayah Gaza.
Netanyahu berulang kali menegaskan dalam kenyataan awam bahawa tenteranya memegang lebih 60 peratus wilayah Gaza.
Berucap dalam sebuah persidangan di kawasan penempatan haram Tebing Barat, pemimpin Israel itu menegaskan lebih banyak kawasan Gaza akan diambil alih.
“Dahulu kita pada tahap 50 peratus, kemudian meningkat ke 60 peratus. Arahan saya adalah untuk terus mara langkah demi langkah,” kata Netanyahu pada Khamis.
Beliau menambah, sasaran awal adalah 70 peratus dan mendakwa pihaknya sedang menekan Hamas dari semua arah bagi menghapuskan saki-baki kumpulan itu.
Netanyahu menyifatkan wilayah yang dirampas di Gaza, Syria, dan Lubnan sebagai “zon penyangga” bagi menghalang serangan pejuang pada masa hadapan.
Bagaimanapun, rakyat Palestin melihat peluasan zon berkenaan sebagai strategi bagi menghalau mereka secara kekal.
Kebimbangan ini diperkukuh menerusi kenyataan menteri kanan termasuk ketua pertahanan Israel Katz, yang mahu menggalakkan “penghijrahan sukarela” dari Gaza.
Arahan Netanyahu ini hadir ketika Israel memperhebat serangan yang didakwa menyasarkan pemimpin kanan Hamas.
Pada Selasa, Israel membunuh ketua sayap bersenjata Hamas, 10 hari selepas membunuh individu sebelumnya.
Pegawai kesihatan Gaza melaporkan serangan pada malam Rabu yang menyasarkan dua pemimpin Hamas meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa, termasuk lima kanak-kanak, serta mencederakan 18 individu lain. Serangan berlaku ketika rakyat Palestin sedang menyambut Aidiladha di khemah pelarian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




