SHAH ALAM – Lima pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menggesa kerajaan dan ahli Parlimen memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 benar-benar menjamin pembentukan institusi Pendakwa Raya yang bebas, bertanggungjawab dan berwibawa.
Menerusi satu kenyataan bersama, sebarang kelemahan dalam draf pindaan yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) perlu diperhalusi sebelum dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat.
Menurut lima CSO berkenaan, laporan serta cadangan pindaan JPKP sehingga kini masih belum didedahkan kepada umum walaupun jawatankuasa berkenaan difahamkan telah memuktamadkan dapatan dan syor berkaitan RUU tersebut.
“Justeru, kami menggesa perkara berikut, JPKP perlu segera mengedarkan laporan dan cadangan pindaan kepada semua Ahli Parlimen, bagi memberikan mereka masa yang mencukupi untuk meneliti, memahami dan menganalisis dokumen tersebut sebelum apa-apa perbahasan dan pengundian dijalankan.
“Sekiranya Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengambil pendirian bahawa pendedahan awal adalah dilarang di bawah Peraturan Mesyuarat, maka perbahasan lanjut bagi RUU ini tidak wajar disegerakan apabila Dewan Rakyat bersidang pada 22 Jun 2026.
“Sebaliknya, laporan dan cadangan pindaan perlu dibentangkan secara rasmi di Dewan Rakyat dan sebarang perbahasan RUU hendaklah ditangguhkan sehingga ahli Parlimen dan orang ramai mempunyai peluang yang mencukupi untuk menyemak dokumen tersebut,” katanya kenyataan bersama itu pada Jumaat.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih); IDEAS Malaysia, Rasuah Busters, Projek SAMA dan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada 3 Mac lalu memaklumkan, RUU yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membawa usul berkenaan selepas bacaan kali kedua RUU itu bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU tersebut.
Mengulas lanjut, lima CSO berkenaan turut mengingatkan bahawa reformasi pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan perubahan besar kepada sistem perlembagaan negara dan tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Pendakwa Raya yang bebas hanya boleh dijamin sekiranya proses pelantikannya telus, berakauntabiliti dan bebas daripada pengaruh tidak wajar.
“Kami menggesa agar Kabinet yang akan bermesyuarat pada 5 Jun kelak, dan Ahli-Ahli Parlimen, apabila RUU ini dibahaskan dan diundi pada bacaan kedua untuk memahami bahawa pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pembentukan jawatan Pendakwa Raya Negara yang bebas, bertanggungjawab dan berwibawa adalah satu reformasi perlembagaan yang sangat penting yang akan menjadi sebuah legasi yang akan dikenang.
“Pelantikan Pendakwa Raya di bawah pindaan baharu ini bakal menjadi satu duluan kepada pelantikan-pelantikan pada masa akan datang, dan perlu dilaksanakan dengan teliti, telus dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, lima CSO itu turut menggesa semua ahli Parlimen memanfaatkan sidang Dewan Rakyat yang akan datang sebagai peluang bagi meneliti dengan cermat laporan dan cadangan daripada JPKP untuk memasukkan penambahbaikan seperti yang digariskan pihaknya agar bergerak secara selari ke arah penggubalan Akta Pemberi Kuasa dan pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat diperlukan.
“Reformasi perlembagaan yang tergesa-gesa dan tidak dibahaskan dengan mencukupi berkemungkinan akan menghasilkan kesan yang tidak dihasratkan, yang berisiko lebih teruk daripada tiada reformasi langsung,” katanya.



