Kuala Lumpur: Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd bakal menamatkan operasi di fasiliti Shah Alam menjelang Mac 2027 sebagai sebahagian daripada penyusunan semula global bagi memperkukuh daya saing perniagaan barangan pengguna audio-visual syarikat.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman web rasminya, syarikat berkenaan memberitahu bahawa pengeluaran televisyen di kilang ini bakal berakhir menjelang September 2026, manakala pembuatan pemutar Cakera Blu-ray akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co Ltd di China.
Pembuatan produk audio Hi-Fi berjenama Technics juga akan ditamatkan di premis Shah Alam menjelang Februari 2027 sebelum dipindahkan ke syarikat lain di bawah Kumpulan Panasonic.
Langkah penyusunan semula ini dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja sebelum kilang ini berhenti beroperasi sepenuhnya pada akhir Mac 2027.
Panasonic menjelaskan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Elektrik bagi membantu pekerja terjejas menerusi program penempatan semula pekerjaan dan latihan transisi kerjaya.
Inisiatif ini membentuk sebahagian daripada usaha kumpulan untuk mengoptimumkan rangkaian pembuatan global sekali gus meningkatkan daya saing produk.
Bagaimanapun, Panasonic menegaskan pembuatan produk audio di Malaysia tetap diteruskan, manakala urusan jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi produk televisyen serta audio berjalan seperti biasa.
Fasiliti Shah Alam ketika ini mengeluarkan televisyen Panasonic, pemutar Cakera Blu-ray dan komponen bagi produk audio jenama Technics.
Panasonic menekankan Malaysia kekal sebagai hab pusat serantau penting bagi kumpulan itu, dengan menggaji kira-kira 12,000 tenaga kerja dalam bidang pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta fungsi korporat.
“Panasonic akan terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhan dalam rantai bekalan bernilai tinggi serta kekal komited untuk memberi sumbangan kepada negara dan komuniti tempatan,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




