Pas kekal relevan kerana perjuangkan Islam – Idris Ahmad

Pas kekal relevan kerana perjuangkan Islam – Idris Ahmad

SHAH ALAM – Pas akan terus kekal segar, relevan dan mendapat tempat di hati masyarakat selagi Islam menjadi teras perjuangannya.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perjuangan parti itu bukan mengenai individu, sebaliknya usaha mengangkat syariat ALLAH dalam kehidupan. Individu datang dan pergi, tetapi perjuangan Islam akan terus hidup.

Jelasnya, semakin ramai generasi muda dan golongan terpelajar memahami perjuangan Islam serta memberikan sokongan kepada Pas walaupun pelbagai tuduhan, fitnah dan momokan dilemparkan terhadap parti itu.

“Pas tetap berdiri teguh kerana asas perjuangannya ialah Islam.

“Perjuangan ini bukan tentang individu, tetapi tentang usaha mengangkat syariat ALLAH dalam kehidupan. Individu datang dan pergi, tetapi perjuangan Islam akan terus hidup,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Idris berkata, bagi seorang Muslim, ukuran kebenaran bukan berdasarkan perasaan, kepentingan, jumlah pengikut atau kepandaian berhujah, sebaliknya berpandukan wahyu ALLAH SWT iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Beliau memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 147 yang bermaksud: “Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu, jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu.”

Menurutnya, dalam perjuangan akan sentiasa ada pihak yang mempertikaikan, memperlekehkan, menuduh dan menentang, namun kebenaran tidak ditentukan oleh pandangan manusia.

Tegasnya, pejuang Islam perlu mempunyai keyakinan yang teguh terhadap dasar perjuangan dan tidak mudah ragu-ragu apabila berhadapan dengan tekanan, fitnah, ugutan atau tawaran dunia.

Beliau berkata, Pas menjadikan Islam sebagai panduan perjuangan dengan mengajak masyarakat mengimarahkan masjid dan surau serta menggalakkan umat Islam menutup aurat, menghadiri majlis ilmu, mendidik anak-anak dengan agama dan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Menurutnya, apabila diberi amanah memerintah, Pas berusaha melaksanakan dasar yang selaras dengan Islam mengikut bidang kuasa yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara.

Beliau berkata, Pas tidak membenarkan premis perjudian beroperasi di negeri yang ditadbirnya dan kerajaan Kedah pernah disaman oleh syarikat judi kerana tidak membenarkan operasi perjudian di negeri itu.

Selain itu, katanya, Pas juga berusaha mengawal perkara yang bercanggah dengan syariat serta mengutamakan pembangunan insan dan pendidikan agama.

Idris mengakui Pas bukan sebuah parti yang sempurna dan pemimpin-pemimpinnya juga tidak maksum serta tidak terlepas daripada kelemahan.

Bagaimanapun, beliau berkata, yang penting ialah usaha berterusan untuk mendekati kehendak Islam, menerima teguran dan memperbaiki kekurangan.

“Jika ada yang mengatakan usaha-usaha ini tidak benar, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Rakyat boleh menilai dengan hati yang terbuka dan akal yang waras,” ujarnya.

Beliau menambah, mereka yang celik hati akan melihat kepada dasar, perjuangan dan matlamat yang dibawa, manakala mereka yang sudah membuat keputusan untuk membenci mungkin akan terus mencari kesalahan walau apa juga yang dilakukan.

Scroll to Top