SHAH ALAM – Pas menegaskan mereka tidak pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai kerajaan negeri Johor sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak sebarang kemungkinan kerjasama dengan parti itu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendirian parti jelas apabila memasuki PRN Johor kerana mahu menjadi pembangkang yang berwibawa, bukannya menyertai kerajaan.
“Pas tidak pernah menyuarakan hasrat untuk masuk kerajaan negeri. Kita masuk pilihan raya dengan matlamat untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.
“Pas hanya akan (mempertimbangkan untuk) masuk kerajaan jika ‘situasi kritikal yang sangat memerlukan’ sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ahmad Fadhli, fokus utama Pas dalam PRN Johor adalah untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH).
Onn Hafiz terdahulu dilapor berkata, Pas tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika BN kembali memerintah dan seandainya beliau dilantik semula ke jawatan tertinggi itu.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri’
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum – PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
‘Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor’
Pengerusi BN Johor itu berkata, beliau memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’.
Onn Hafiz turut menegaskan, dakwaan Pas akan menjadi sebahagian kerajaan negeri hanyalah naratif politik bertujuan mengelirukan masyarakat Cina di Johor, menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.
Ketua UMNO Johor itu juga menafikan telah bersetuju memperuntukkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan kepada Pas sebagai pertukaran untuk parti berkenaan bertanding 11 kerusi sahaja pada PRN kali ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor – Amirudin
PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan – Aminuddin
Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu
Pada Rabu malam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, Perikatan Nasional (PN) terutama Pas bersedia menjalin kerjasama termasuk menyumbang kerusi kepada UMNO sekiranya parti berkenaan tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN.
PRN Johor 2026 menyaksikan sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan jumlah minimum 29 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.
Dalam PRN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN dan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.



