Netanyahu dedah sebab utama sokong Argentina

Netanyahu dedah sebab utama sokong Argentina

PERDANA Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu mendedahkan sokongannya terhadap Argentina pada Piala Dunia 2026 bukan kerana kehebatan Lionel Messi, sebaliknya mempunyai kaitan dengan Presiden Argentina, Javier Milei.

Juara bertahan itu kini meneruskan kempen di Piala Dunia 2026 dengan mara ke suku akhir, namun sokongan Netanyahu terhadap skuad Albiceleste hadir atas faktor di luar padang.

Menurut laporan Clash Report yang memetik pelabur syarikat permulaan, Mario Nawfal, Netanyahu memberitahu seorang wartawan bahawa Argentina adalah pasukan pilihannya sepanjang kejohanan.

“Messi?” Tanya wartawan itu ketika menyangka bintang Inter Miami tersebut menjadi sebab utama sokongan berkenaan.

“Bukan. Sebelum Messi, Milei. Dia seorang superstar,” jawab Netanyahu.

Netanyahu merujuk kepada Milei yang dilantik sebagai Presiden Argentina sejak 2023 dan sebelum ini dikenali sebagai personaliti televisyen serta profesor ekonomi.

Sementara itu, Argentina kendalian Lionel Scaloni kini sedang memburu kejayaan mempertahankan kejuaraan dunia selepas menyingkirkan beberapa pencabar dalam laluan ke suku akhir.

Messi pula terus mencuri perhatian apabila mengetuai carta penjaring terbanyak Piala Dunia 2026 selepas meledak lapan gol sepanjang kejohanan.

Juara bertahan itu bakal bertemu Switzerland di suku akhir pada Ahad ini (9 pagi waktu Malaysia).

Scroll to Top