PBDKK barakan pembangunan akar umbi Kuala Kangsar

PBDKK barakan pembangunan akar umbi Kuala Kangsar

PERSATUAN Bolasepak Daerah Kuala Kangsar (PBDKK) kembali menggiatkan usaha pembangunan akar umbi bola sepak di daerah itu dengan inisiatif melibatkan Akademi Bolasepak Datuk Iskandar Dzulkarnain.

Presidennya, Abd Aziz Yeop Jamaludin berkata, program kali ini akan melibatkan pelatih-pelatih berumur 13 hingga 15 tahun dan juga kategori bawah 10 tahun, menyusuli sambutan menggalakkan bagi peringkat bawah 12 tahun sebelum ini.

Abd Aziz Yeop

Abd Aziz Yeop

“Pada peringkat awal penubuhan akademi, seramai 30 pelatih berumur 12 tahun dari daerah Kuala Kangsar telah dipilih untuk menyertai latihan yang diadakan di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gandhi Memorial Kuala Kangsar pada 25 April lalu,.

“Permohonan yang diterima daripada ibu bapa amat menggalakkan, dan fasa kedua akan melibatkan pelatih-pelatih yang berumur 13 hingga 15 tahun serta kategori bawah umur 10 tahun,” kata beliau.

Sementara itu, Abd Aziz Yeop mengakui PBDKK menghadapi kekangan kewangan dalam menjalankan aktiviti, namun ia tidak mematahkan semangat persatuan untuk merencanakan pelbagai program demi memeriahkan sukan bola sepak di daerah ini setiap tahun.

“Hasil daripada usaha yang dijalankan, kini terdapat tokoh pemimpin masyarakat tempatan, usahawan, dan individu yang mencintai bola sepak telah tampil ke hadapan sebagai penyumbang utama persatuan bagi menjayakan aktiviti yang dirancang.

“Sudah pasti ini merupakan sesuatu yang amat dihargai oleh persatuan dan juga warga tempatan yang meminati sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu di hati rakyat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Abd Aziz Yeop memaklumkan bahawa Liga Veteran 2025 merebut Piala Pengerusi Keadilan Negeri Perak, Hairul Amir bin Sabri, terus mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pasukan pada musim ini.

Menurut beliau, sebanyak 20 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam saingan yang akan bermula dari 10 Mei hingga Oktober depan.

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan kali ini amat menggalakkan berbanding hanya 12 pasukan yang mengambil bahagian pada tahun lalu,” katanya.

“Saya percaya dengan kehadiran bekas pemain yang pernah mewakili pasukan negeri dan kebangsaan, sudah pasti ia akan memeriahkan lagi pertandingan kali ini, dan peminat akan berpeluang menyaksikan aksi legenda bola sepak Perak.

“Semua perlawanan akan dijalankan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 5 petang di Padang Mini Stadium Kuala Kangsar,” katanya.

Scroll to Top