Pengajaran isu Masjid Jamek Al-Ridzuan, jangan alpa urus tanah wakaf – Pengerusi Masjid

Pengajaran isu Masjid Jamek Al-Ridzuan, jangan alpa urus tanah wakaf – Pengerusi Masjid

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Isu tanah wakaf Masjid Jamek Al-Ridzuan dimiliki individu persendirian hingga memaksa jemaah mencari dana lebih RM2 juta untuk menebusnya, wajar dijadikan iktibar kepada semua masjid supaya tidak leka memantau status pemilikan tanah masing-masing.

Pengerusi masjid berkenaan, Yusuf Majid berkata, sejak 2015 mereka menyedari tanah masjid berstatus wakaf itu sebenarnya sudah bertukar milik, namun segala usaha untuk mendapatkan semula hak ke atasnya terbatas kerana kekangan kewangan.

“Kami dah cuba kumpul dana sejak dapat tahu mengenai status tanah itu, tapi ia tidak mencukupi. Wang yang ada hanya mampu digunakan untuk pembangunan asas masjid,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Al-Ridzuan di sini, hari ini.

Yusuf berkata, krisis itu hanya mendapat perhatian ramai selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali mendedahkan perkara itu secara terbuka dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

“Sejak itu, usaha menebus kembali tanah masjid ini digerakkan secara besar-besaran oleh pihak kerajaan, NGO dan orang ramai. Alhamdulillah, jumlah kutipan mencecah lebih RM2 juta,” katanya.

Menurut Yusuf, pengalaman itu membuka mata banyak pihak mengenai pentingnya memantau status pemilikan tanah masjid secara berkala, supaya rumah Allah tidak tergadai tanpa disedari.

Katanya, sekiranya ada pihak yang mahu mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan surau atau masjid, perkara itu perlulah mempunyai dokumen ‘hitam putih’ dan perlu ditukar nama bagi mengelakkan masalah berbangkit.

Dalam pada itu, Yusuf menyambut baik langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang mengarahkan audit ke atas semua tanah masjid dan surau di negeri ini.

“Sekurang-kurangnya jika ada lagi masjid atau surau yang berstatus sama seperti kami, ia dapat diselesaikan segera.

“Ia satu tindakan tepat bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu,” katanya.

Berhubung lebihan dana sumbangan orang ramai, Yusuf berkata, jumlah sebenar belum dimuktamadkan kerana masih ada sumbangan masuk walaupun akaun rasmi ditutup pada 12 malam semalam.

Katanya, wang lebihan itu akan dimasukkan ke dalam tabung masjid sebagai wakaf am, manakala kira-kira RM500,000 yang dikenal pasti sebagai lebihan utama sedang menunggu arahan lanjut daripada MAIPk.

Sementara itu, Noor Azman ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur apabila masalah itu hampir selesai sepenuhnya dan menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai antara isu paling besar pernah beliau perjuangkan sebagai wakil rakyat.

Beliau juga tersentuh melihat semangat perpaduan umat Islam yang tampil membantu dalam misi menebus tanah rumah ibadat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top