Pekebun kecil Risda terjejas pendapatan akibat penyakit luruhan daun – Utusan Digital

JEMPOL: Pekebun-pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di seluruh negara kecuali di Perlis, Sabah dan Pulau Pinang kini terkesan sumber pendapatan selepas tanaman getah mereka mengalami penyakit luruhan daun pada pokok getah (pestalotiopsis).

Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, seluas 15,282 hektar tanah terkesan dengan penyakit tersebut dan seramai 8,043 pekebun kecil terjejas pendapatan mereka.

“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar meluluskan sejumlah peruntukan bagi mengatasi masalah ini. Kaedah pencegahan adalah dengan melakukan kerja-kerja penyemburan bagi mengawal dan mencegah penularan penyakit tersebut.

“Kerja-kerja penyemburan ini dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan dan proses ini mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk semua negeri. Diharapkan dengan penyemburan racun dan pembasmian kuman ini akan dapat mengatasi masalah ini dan para pekebun kecil akan dapat kembali menoreh,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Jempol, dekat sini hari ini.

Penyakit luruhan daun pada pokok getah bermula apabila kulat pestalotiopsis menjangkiti daun, tangkai, dahan dan buah pokok getah yang mana jangkitan serangan lebih tertumpu pada bahagian daun.

Tanpa tindakan segera, pendapatan pekebun kecil akan terjejas kerana pengeluaran susu getah menyusut akibat penyakit berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Salim berharap semua pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memainkan peranan memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk mendaftar bagi menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Saya harap semua penduduk Jempol dapat daftar di MySejahtera untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin. Dalam 140,000 penduduk Jempol, paling tidak 80 peratus mendaftar dalam MySejahtera.

“NGO, parti politik, semua pihak perlu terlibat untuk sama-sama memberi kesedaran supaya lebih ramai mendaftar vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE