am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang pekerja kebun warga Bangladesh dihadap ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Selasa lalu.
Tertuduh, Md Habibullah, 28 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kenderaan jenis Nissan Almera memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara yang melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Jafni Baharudin, 29.
Habibullah didakwa melakukan kesalahan itu di simpang empat lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, 8.23 malam, Selasa lalu, mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M Partiben memohon mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga di negara asal serta baru sahaja menerima cahaya mata minggu lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan dua penjamin warganegara beserta syarat perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berdekatan, lesen memandu ditarik dan digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd




