rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Isu dalaman kelab Kelantan The Real Warriors (TRW) mempengaruhi prestasi pemain yang menyaksikan mereka dibelasahJohor Darul Ta’zim (JDT) 1-14 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Perkara itu didedahkan jurulatih kecergasan pasukan, Kamarul Dinis Kamaruddin kepada pemberita ketika ditemui selepas kekalahan memalukan itu pada sidang media selepas perlawanan.
Katanya, banyak isu berbangkit yang berlegar dalam kelab itu hingga menyebabkan pemain ‘tawar hati’ untuk beraksi dan tak dapat beri tumpuan penuh pada sesi latihan.
“Kami ini ibarat kapal tanpa nakhoda, maksudnya terpaksa bergerak sendiri. Malah, pihak pengurusan tak pernah beri khabar berita apa pun kepada kami hingga sekarang.
“Yang sedia maklum adalah masalah gaji yang tidak diperoleh sejak Mac lalu, ketika hampir sambut Aidilfitri, barulah terima sekali pembayaran gaji sahaja.
“Walaupun `mood’ pemain ketika ini negatif, namun kami tetap hadir bersama barisan jurulatih serta staf sokongan yang sanggup datang ke perlawanan ini,” katanya.
Beliau berharap dapat memujuk kesemua barisan pemain, barisan jurulatih dan staf sokongan untuk dapat beraksi dan menamatkan saingan liga musim ini apabila berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, 16 Mei ini.
“Saya berharap mereka yang tinggal ini bebas daripada sebarang kecederaan dan boleh bermain, kerana ini sahaja harapan kami untuk bertandang ke Paroi nanti.
“Saya cuma memberi motivasi kepada mereka walaupun semangat mereka hanya sekadar datang memenuhi jadual sahaja. Itu sahaja yang kami mampu” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




