Peminat kekal setia dengan Ejen Ali selepas sedekad

Peminat kekal setia dengan Ejen Ali selepas sedekad

puterialia@hmetro.com.my

SIAPA sangka selepas sedekad mencetus fenomena, siri animasi popular, Ejen Ali masih menerima sokongan peminat setia yang mengikuti perkembangannya sehingga hari ini.

Pelakon suara watak Ejen Ali, Ida Rahayu Yusoff turut mengakui terharu dengan maklum balas luar biasa daripada peminat apabila siri yang popular terutama dalam kalangan kanak-kanak mula ditayangkan pada 2016.

Menurut Ida Rahayu, peminat yang ditemuinya dalam pelbagai acara mengakui setia mengikuti animasi berkenaan meskipun rata-ratanya kini sudahmeningkat dewasa.

Menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang cukup istimewa, katanya, Ejen Ali bukan sekadar berkembang sebagai francais animasi yang berjaya, sebaliknya hadir sebagai satu nilai sentimental yang cukup mendalam untuk setiap penonton.

“Bagi peminat baharu, mungkin mereka tertarik untuk menonton Ejen Ali kerana visual dan penampilan wataknya yang dekat dengan dunia kanak-kanak.

“Namun selepas 10 tahun, ramai penonton mengikuti siri ini sejak musim pertama sudah membesar bersama Ejen Ali. Penonton yang dahulunya kanak-kanak kini semakin matang.

“Malah, ketika acara, ramai peminat datang dan berkongsi mereka sudah mengikuti Ejen Ali sejak musim pertama. Ada yang beritahu, mereka sudah tonton sejak musim pertama, sekarang saya sudah masuk universiti.

“Ejen Ali sebenarnya membesar bersama penontonnya. Alhamdulillah, sehingga hari ini mereka masih terus mengikuti perkembangan siri ini,” katanya.

Ida Rahayu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali dan ulang tahun TV ke-42 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu membuktikan siri animasi berkenaan berjaya membina hubungan emosi yang kuat dengan penonton sehingga mereka terus setia mengikuti perjalanan watak dan jalan cerita Ejen Ali.

Sementara itu, pelakon suara bagi watak Ejen Bakar, Shafiq Isa pula mendedahkan rahsia di sebalik kejayaan siri animasi berkenaan mengekalkan kelompok penonton daripada pelbagai peringkat usia.

“Sejak awal lagi, proses pembangunan Ejen Ali dirancang supaya kandungannya sesuai ditonton seisi keluarga. Dari segi penulisan dan penceritaan, kami memastikan setiap lapisan penonton dapat menikmati karya ini.

“Ada elemen cerita dan plot yang mungkin lebih dekat dengan penonton dewasa serta memerlukan pemahaman lebih mendalam,” katanya,.

Dalam pada itu, Shafiq menjelaskan produksi Ejen Ali tidak melupakan penonton cilik apabila turut menampilkan aksi dan elemen komedi yang mudah difahami serta menghiburkan kanak-kanak.

“Sebab itu Ejen Ali boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat umur. Orang dewasa boleh menonton, kanak-kanak juga boleh mengikuti ceritanya.

“Kami mahu memastikan karya ini sesuai untuk seisi keluarga dan tidak terlalu tertumpu kepada penonton dewasa sahaja,” katanya.

Meskipun jalan cerita Ejen Ali kini dilihat semakin luas dan kompleks berbanding musim-musim sebelum ini, Shafiq menegaskan elemen yang dekat dengan penonton cilik tetap dikekalkan supaya siri ini terus relevan dalam kalangan generasi baharu.

“Kami mahu peminat yang sudah dewasa terus mempunyai sebab untuk mengikuti siri ini, manakala kanak-kanak pula masih boleh menikmati pengembaraan dan aksi yang ditampilkan.

“Itulah cabaran yang sentiasa kami cuba seimbangkan supaya Ejen Ali kekal menarik untuk semua peringkat umur,” katanya.

Untuk rekod, sejak mula diperkenalkan pada 2016, Ejen Ali terbitan WAU Animation terus berkembang menjadi fenomena dengan penghasilan tiga musim siri animasi selain filem sulung pada 2019 sebelum diikuti filem sekuelnya pada tahun lalu.

Naskhah hebat ini mengisahkan seorang pelajar bernama Ali yang secara tidak sengaja terbabit dalam dunia perisikan, lalu menjadi ejen muda agensi rahsia MATA dan berjuang mempertahankan Bandar Cyberaya yang penuh rahsia serta ancaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top