am@hmetro.com.my
Sik: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku membabitkan dua kenderaan di Jalan Charok Pelandok, di sini semalam sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Shamzury Saman berkata, kemalangan jalan raya itu berlaku kira-kira jam 2.45 petang semalam.
Beliau berkata, kemalangan berlaku membabitkan sebuah Proton Persona yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun dengan sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun bersama dua anaknya.
Akibat kemalangan itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang juga penumpang Perodua Bezza disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati Proton Persona yang dipandu lelaki warga emas itu sedang dalam perjalanan dari Kampung Batu Lapan menghala ke Gurun, manakala Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang wanita bersama dua anaknya sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Kampung Sungai Senam.
“Kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai datang dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara hadapan dengan Proton Persona berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kemalangan itu turut menyebabkan empat lagi mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Sik untuk menerima rawatan lanjut.
Shamzury berkata, mayat mangsa yang maut kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Charok Pelandok, di sini semalam.
Kemalangan membabitkan Perodua Bezza dinaiki tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan sembilan tahun, dengan Proton Persona yang dinaiki dua mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




