am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis negeri ini merampas dadah bernilai RM227,914 hasil penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun di Air Itam di sini, jam 12 tengah hari, Isnin lalu.
Lelaki yang juga penganggur itu ditahan di sebuah kawasan parkir pada operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada serbuan itu, pihaknya merampas 100 helaian foil aluminium mengandungi Erimin 5 seberat 280 gram daripada suspek.
“Hasil siasatan lanjut, kami menyerbu sebuah rumah di Jelutong dan menemukan pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin, Erimin 5, ganja, ekstasi, serbuk MDMA dan serbuk ketamin.
“Risikan mendapati, sindiket aktif mengedar dadah di pasaran tempatan sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih 31,000 penagih.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif Methamphetamine dan memiliki 3 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Antaranya ialah empat rekod berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek direman sehingga 9 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana dua kenderaan serta wang turut di sita dengan jumlah keseluruhan termasuk rampasan ialah RM267,424,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, setakat ini, 246 permohonan menjual bunga api dibenarkan dan diluluskan di Pulau Pinang.
Seratus daripadanya membabitkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (61), Timur Laut (45), Barat Daya (28) dan 12 bagi Seberang Perai Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
