Penuntut UPSI harumkan nama negara, raih tempat ketiga Kejohanan Adobe Dunia 2026

Tanjung Malim: Kejayaan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad meraih tempat ketiga dalam 2026 Adobe Certified Professional World Championship di Anaheim, California baru-baru ini membuktikan penguasaan teknologi digital bukan sahaja perlu memerlukan kreativiti, pemikiran strategik dan kebolehan memahami kehendak pelanggan.

Malah, ia juga memerlukan sokongan secara kolektif sebagai penguat semangat untuk berjuang di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acestar Sdn Bhd merangkap pengasas Creative Cloud Community (CCC), Natalie Sit, menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik.

Katanya, kejayaan itu mencerminkan pembangunan bakat bertaraf antarabangsa memerlukan sokongan kolektif antara universiti, industri, pembimbing dan pihak penganjur.

Beliau berkata, Acestar adalah penganjur rasmi Kejohanan Peringkat Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) 2026 anjuran CCC.

Katanya, syarikat yang juga penaja juara kebangsaan, Muhammad Fawwaz Haiqal, berjaya membawa lima bakat Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, tiga peserta bertanding dalam kategori ACP, manakala dua lagi menyertai kategori Microsoft Office Specialist (MOS),” katanya.

Beliau berkata, tempat pertama kejohanan ACP 2026 dimenangi Lulu Emanuele dari Amerika Syarikat, diikuti Furtini Baldesin dari Brazil di tempat kedua, manakala Fawwaz dan Nafiz dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Katanya, Nafiz turut memenangi anugerah People’s Choice Award, sekali gus menyaksikan dua wakil Malaysia berada dalam kelompok empat peserta terbaik dunia.

Sementara itu, jurulatih Fawwaz merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (FKMT), Ahmad Nurzid Rosli berkata, pencapaian itu adalah hasil proses pembangunan bakat yang dilaksanakan secara berperingkat, berstruktur dan konsisten.

“Pingat ini adalah satu pencapaian membanggakan dalam membangunkan bakat digital yang mampu berfikir daripada perspektif pelanggan dan menghasilkan reka bentuk yang mempunyai tujuan.

“Latihan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan teknikal dalam Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, malah merangkumi prinsip reka bentuk, tipografi, hierarki visual, pemilihan warna, pengurusan ruang serta penyampaian mesej yang berkesan,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Fawwaz Haiqal berkata pendekatan latihan membantunya menggunakan aplikasi digital secara lebih strategik dan bukan sekadar menghasilkan karya yang kelihatan menarik.

“Dalam pertandingan tahun ini, peserta diberikan tugasan berasaskan tema My Life Is Worth Living, sebuah inisiatif oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, Cook Center for Human Connection, yang mengetengahkan isu kesihatan mental dan kesejahteraan golongan muda,” katanya.

Dia turut mendapat bimbingan Nur Saadah Fathil menghasilkan reka bentuk berasaskan kisah Danny, seorang remaja yang berusaha membina semula kehidupannya selepas mengalami kemalangan yang memberi kesan terhadap keadaan fizikal dan emosinya.

“Kisah yang menarik perhatian juri itu mengetengahkan isu pemikiran negatif, kemurungan, trauma, kebimbangan dan perasaan mengecewakan keluarga.

“Selain itu, turut menekankan kepentingan sokongan individu di sekeliling, komunikasi keluarga, pemikiran positif, pelan keselamatan serta proses menyesuaikan diri dengan ‘normal baharu.” kata mahasiswa Program Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top