Boston: Pertahanan Perancis, Dayot Upamecano dan William Saliba tidak menyertai sesi latihan pasukan, hari ini, ketika skuad itu membuat persiapan menghadapi Sepanyol bagi aksi separuh akhir Piala Dunia, Rabu ini.
Pertahanan tengah, Saliba mengalami kecederaan belakang sepanjang kejohanan dan direhatkan ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Norway.
Tiada maklumat diberikan mengenai ketiadaan Upamecano, namun pertahanan tengah itu hadir ke kejohanan selepas mengharungi musim yang padat bersama Bayern Munich.
Kedua-dua pemain yang diturunkan dalam kemenangan 2-0 ke atas Maghribi pada suku akhir, Khamis lalu, menjadi antara faktor Perancis hanya melepaskan dua gol dalam enam perlawanan Piala Dunia setakat ini.
Jumlah itu menyaksikan mereka hanya melepaskan satu gol lebih banyak berbanding lawan mereka di separuh akhir, Sepanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




