Perhilitan pasang perangkap harimau kumbang

Perhilitan pasang perangkap harimau kumbang

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil tindakan segera memasang perangkap susulan laporan seekor harimau kumbang dilihat berkeliaran di tepi jalan utama menuju Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Difahamkan, pihak Perhilitan Daerah Hulu Terengganu menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar itu kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, selepas ia didakwa dilihat berada di tepi jalan utama berkenaan.

Susulan aduan itu, seramai lima anggota Perhilitan Daerah Hulu Terengganu bersama seorang kakitangan Taman Negeri Terengganu (TNT) digerakkan ke lokasi kira-kira jam 9.30 pagi Ahad lalu bagi menjalankan operasi pemantauan dan memasang sebuah perangkap harimau.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak berhampiran Hutan Simpan Hulu Telemong serta Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, masing-masing kira-kira 500 meter dari kawasan haiwan liar itu dilaporkan muncul.

Menurutnya, pihak Perhilitan sebelum ini sudah memasang kamera perangkap di kawasan berkenaan pada 7 Julai lalu bagi memantau pergerakan hidupan liar.

“Selain memasang perangkap pada Ahad lalu, Perhilitan akan meneruskan pemantauan secara berkala bagi mengesan kehadiran harimau kumbang itu serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

“Orang ramai yang melalui laluan menuju Pangkalan Gawi dinasihatkan supaya lebih berwaspada, terutama pada waktu malam, dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar itu,” katanya semalam.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kemunculan harimau kumbang itu boleh disalurkan segera kepada Perhilitan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top