LATEST

Perjanjian air Pulau Pinang-Perak jamin sekuriti belakan air

Perjanjian air Pulau Pinang-Perak jamin sekuriti belakan air

GEORGE TOWN : Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) antara Pulau Pinang dengan Perak penting bagi menjamin sekuriti bekalan air jangka panjang negeri itu, selain menawarkan kos lebih rendah berbanding alternatif penyahgaraman air.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dakwaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhubung perjanjian tersebut disifatkan tidak bertanggungjawab kerana mengetepikan penjelasan yang telah diberikan berulang kali sehingga boleh mengelirukan orang ramai.

Baca juga: ‘Mana tahu ini pelukan terakhir Abe…’ – Ibu

Menurutnya, perjanjian berkenaan bukan perkara baharu malah telah dibincangkan secara mendalam dalam dua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selain taklimat diberikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada wakil rakyat negeri itu.

”Ini termasuk penjelasan kepada pemegang saham melalui pekeliling menjelang Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Berhad pada 12 November lalu yang menyaksikan BWSA diluluskan dengan memperoleh 98 peratus undi sokongan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri mendakwa perjanjian pembelian air terawat antara Pulau Pinang dan Perak disifatkan sebagai tidak adil serta tidak rasional apabila PBAPP didakwa diwajibkan membayar caj kapasiti RM210 juta setahun selama 40 tahun walaupun tiada jaminan bekalan air diterima

Kon Yeow berkata, Guan Eng juga tidak mengemukakan sebarang alternatif bagi menangani keperluan sumber air mentah negeri itu, sedangkan semua sumber air permukaan di Pulau Pinang dijangka dimanfaatkan sepenuhnya menjelang 2030.

Katanya, penyahgaraman air yang dikenal pasti sebagai pilihan seterusnya melibatkan kos jauh lebih tinggi berbanding BWSA dengan anggaran kos modal dan sepanjang kitar hayat loji berkapasiti 300 juta liter sehari (MLD) boleh melebihi RM25 bilion bagi tempoh hayat kira-kira 20 tahun.

”Sebaliknya, BWSA yang dimeterai antara PBAPP dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak (PAIP) membabitkan perjanjian selama 40 tahun bagi pembekalan antara 300 hingga 500 MLD dengan jumlah Caj Kapasiti sebanyak RM8.4 bilion sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Kon Yeow berkata, loji rawatan air berkapasiti 500 MLD itu dibina khusus untuk membekalkan air kepada Pulau Pinang dengan kos pembinaan awal sebanyak RM3 bilion manakala PAIP bertanggungjawab mendapatkan pembiayaan serta menanggung risiko pembinaan, penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur.

Menurutnya, PBAPP tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan atau sumbangan modal kerana kos pembinaan akan dibayar semula melalui Caj Kapasiti tahunan sebanyak RM210 juta bermula tarikh pembekalan air sekali gus membolehkan pembayaran diagihkan sepanjang tempoh kontrak.

Beliau berkata, Caj Kapasiti merupakan bayaran bagi ketersediaan kapasiti loji dan pembiayaan pembinaannya manakala Caj Bekalan pula hanya dikenakan berdasarkan jumlah air yang benar-benar dibekalkan serta memenuhi piawaian kualiti dipersetujui.

Katanya, perjanjian itu turut menyediakan mekanisme perlindungan termasuk pembayaran ganti rugi oleh PAIP sekiranya berlaku kekurangan bekalan atau kegagalan memenuhi piawaian kualiti air yang disahkan makmal bebas, tertakluk kepada pengecualian tertentu seperti kemarau teruk dan Klausa Kepentingan Negeri Perak.-UTUSAN

The post Perjanjian air Pulau Pinang-Perak jamin sekuriti belakan air appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news