Piala FA: Pertembungan Melaka United, JDT jadi tumpuan

Piala FA: Pertembungan Melaka United, JDT jadi tumpuan

PERTEMBUNGAN antara Melaka United FC dan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara aksi tumpuan pada saingan suku akhir Piala FA musim ini.

Berdasarkan format undian, perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Hang Jebat di Melaka sekali gus memberikan kelebihan beraksi di laman sendiri kepada skuad Sang Kancil yang berjaya mengikat JDT 1-1 pada aksi Liga Super di venue sama, Sabtu lalu,

Sri Pahang FC, juara Piala FA sebanyak tiga kali pada 2006, 2014 dan 2018, akan menjadi tuan rumah apabila berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, manakala Sabah FC akan bertemu pemenang perlawanan pusingan kedua antara Selangor FC dan juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Perlawanan suku akhir lain pula menyaksikan wakil tunggal Liga Premier, Kuching City FC, yang bakal menjadi pasukan pelawat, menanti pemenang satu lagi aksi pusingan kedua antara juara dua kali Terengganu FC (TFC) dan juara 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pengendali Melaka United, Mohd Asri Ninggal menjangkakan pasukannya akan menempuh cabaran getir dan penuh berliku berdepan skuad Harimau Selatan, namun berharap barisan anak buahnya dapat meraih kejayaan dengan sokongan padu penyokong sendiri.

“Apabila sudah masuk di peringkat suku akhir, tidak boleh lagi memilih pasukan dan apabila diundi bertemu JDT, kami akan cuba beri yang termampu.

“Pemain kena beri tumpuan tidak berbelah bahagi daripada minit pertama hingga minit terakhir berdasarkan perlawanan yang dilalui tempoh hari,” katanya dalam kenyataan, malam Isnin.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti bersedia untuk bertemu sama ada TFC atau KDA dan menyifatkan kualiti kedua-dua pasukan berkenaan adalah setara manakala pasukan kendaliannya adalah ‘underdog’ (bukan pilihan).


“TFC semakin menemui rentak manakala Kedah yang mempunyai ramai pemain import baharu juga semakin garang jika dilihat persembahan mereka di Piala AFC. Saya harap pemain berikan segala-galanya sambil berharap tuah boleh berpihak kepada kita di peringkat kalah mati ini,” katanya.

Keempat-empat aksi suku akhir dijadual berlangsung pada 23 Julai ini dan tiada format timbal balik bermula daripada peringkat tersebut.

Sebagai rekod, saingan Piala FA kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan sejak penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan edisi 2020 terpaksa dibatalkan sebelum tidak dianjurkan pada musim 2021. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang