Wanita ditarik tudung memang ‘freehair’, YouTuber cuma nak tahu kecaman netizen

Sejak petang tadi, kecoh di media sosial berkenaan satu video yang dikatakan video social experiment dengan menarik tudung wanita awam demi membuat konten di YouTube.

YouTuber tersebut teruk dikecam pengguna media sosial kerana merasakan tindakannya adalah satu bentuk gangguan dan boleh dikatakan satu jenayah.

YouTuber itu juga memaklumkan yang dia membuka ruang untuk orang ramai mengecam tindakannya kerana apa yang dilakukan adalah untuk melihat reaksi netizen.

Selepas beberapa jam teruk dikecam, dia sekali lagi memuat naik video menjelaskan hal sebenar di saluran YouTube miliknya dengan memaklumkan yang dua orang wanita di dalam video tersebut sememangnya ‘freehair’.

Mereka sekadar berlakon menjadi mangsa demi menjayakan konten YouTuber tersebut yang mahu melihat orang ramai mengecam tindakan itu.

Jelasnya, apa yang ingin dilakukan adalah membuktikan sikap netizen yang suka mengambil video separuh-separuh dan menjatuhkan hukum sesuka hati tanpa mengetahui hujung pangkal cerita sebenar.

Video berdurasi 1 minit lebih itu turut mendapat respon daripada netizen yang merasakan tindakannya tetap salah sehingga boleh membuatkan orang bersangka buruk serta memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

Mereka juga merasakan ada banyak lagi konten yang boleh dibuat berbanding menggunakan subjek wanita dan pakaiannya untuk tujuan memancing kemarahan netizen di luar sana.

Sumber: YouTube NickCHANNEL