'Pihak berkuasa perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan terperinci' – Marhamah

'Pihak berkuasa perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan terperinci' – Marhamah

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu : Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan berhubung kes penyelewengan dana zakat membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM230 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli turut meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi.

“Pihak berkuasa perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan terperinci tanpa sebarang gangguan atau campur tangan luar.

“Biar pihak berkuasa siasat dan buat kerja. Jangan kita buat spekulasi dan menjadi ejen perpecahan atau pergaduhan sehingga mengakibatkan perkara negatif itu tersebar.

“Masyarakat perlu tenang dahulu,” katanya pada sidang media ketika merasmikan Little Hajj by Little Caliphs di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bersama seorang pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari bermula sehingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Kelmarin, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top