PM Anwar pertahan KWAP, kerugian eFishery perlu dinilai bersama keuntungan RM12.9 bilion

PM Anwar pertahan KWAP, kerugian eFishery perlu dinilai bersama keuntungan RM12.9 bilion

Kerugian dialami Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) susulan pelaburan dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, tidak wajar dinilai secara berasingan kerana dana itu masih mencatat prestasi kewangan yang kukuh, lapor Malay Mail.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pelaburan bernilai RM163.4 juta itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk melalui penilaian oleh pengurus dana profesional, kajian kebolehlaksanaan serta kelulusan panel pelaburan dan lembaga pengarah KWAP, tanpa sebarang campur tangan politik.

Foto arkib: NSTP/L. MANIMARAN

Ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan pelaburan adalah di bawah bidang kuasa profesional yang dilantik dan bukan memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Saya memilih untuk mengumumkan pelaburan ini kerana ia melibatkan dana awam,” katanya merujuk kepada pelaburan KWAP dalam eFishery yang kini dikaitkan dengan skandal penipuan kewangan.
“Individu yang bertanggungjawab sudah dipenjarakan,” katanya sambil menambah bahawa kes itu membuktikan pelabur bertaraf antarabangsa juga boleh diperdaya.

Beliau berkata, KWAP bukan satu-satunya pelabur yang terjejas kerana syarikat itu turut menerima pelaburan daripada firma-firma besar dunia seperti Temasek, SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund dan Northstar.

Mengulas mengenai kerugian yang ditanggung, Anwar berkata prestasi keseluruhan KWAP perlu dijadikan ukuran utama.

“Kerugian itu RM160 juta, tetapi KWAP mencatat keuntungan bersih RM12.9 bilion dengan pertumbuhan dana sebanyak RM9.3 bilion.
“Jika kita mahu dana ini lebih berhati-hati, kita perlu menilainya secara keseluruhan berdasarkan prestasi dan pelan tindakannya,” ujarnya.

Foto arkib: Kosmo!

Beliau turut memaklumkan KWAP merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul melebihi 8.5 peratus serta terus menyokong syarikat pemula tempatan melalui inisiatif Gear Up, termasuk LaPasar dan ZUS Coffee.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan menyokong siasatan terhadap pelaburan berkenaan dan mengarahkan KWAP serta Kementerian Kewangan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika terdapat unsur salah laku, SPRM mesti menyiasat. Saya telah mengarahkan supaya kerjasama penuh diberikan,” kata Anwar.

Beliau bagaimanapun berkata maklumat awal tidak menunjukkan sebarang unsur salah laku di pihak KWAP, namun proses pelaburan itu tetap perlu diteliti secara menyeluruh.

Menjawab persoalan mengenai proses usaha wajar (due diligence), Anwar menjelaskan panel pelaburan KWAP terdiri daripada golongan profesional, manakala wakil kerajaan yang berada dalam lembaga pengarah tidak terlibat dalam membuat keputusan pelaburan.

Jelasnya, pelaburan tersebut turut melalui beberapa peringkat audit oleh firma audit antarabangsa, namun penipuan yang didakwa berlaku tetap gagal dikesan.

“Ini menjadi pengajaran kepada kita. Walaupun sesuatu itu diluluskan oleh juruaudit bertaraf dunia, ia bukan jaminan kejayaan,” jelas beliau.

Mengambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata penglibatan Goldman Sachs menunjukkan reputasi sesebuah firma tidak semestinya menjamin sesuatu pelaburan bebas daripada penyelewengan.

“Ini bermakna kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada juruaudit atau pakar. Kita juga perlu melihat kepada nilai, tadbir urus dan integriti,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaburan dalam syarikat pemula sememangnya mempunyai risiko, namun kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap unsur rasuah atau ketirisan.

“Pelaburan, khususnya dalam syarikat pemula, sentiasa mempunyai risiko. Ada kalanya akan berlaku kerugian, tetapi kita tidak akan berkompromi terhadap rasuah atau ketirisan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan terus menambah baik proses pelaburan pada masa hadapan, selain memberi ruang kepada SPRM meneliti keseluruhan proses dan keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan KWAP.

Pada 18 Julai lalu, KWAP mengesahkan pelaburan berjumlah RM163.4 juta dalam eFishery dan memaklumkan semua langkah yang bersesuaian sedang diambil bagi mendapatkan semula dana tersebut.

Menurut KWAP, pelaburan itu mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam syarikat berkenaan, yang sebelum ini menjadi antara syarikat agritech paling pesat berkembang di Indonesia sebelum terbongkar kes manipulasi kewangan.

KWAP turut menjelaskan ia hanya merupakan pemegang saham minoriti, manakala pelabur institusi global lain yang turut memiliki pegangan dalam eFishery juga menerima kesan daripada salah laku yang didakwa dilakukan oleh pengurusan syarikat tersebut.

Sumber: Malay Mail (R. Loheswar)

Scroll to Top